Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19: Lebih 1,000 pesakit kanak-kanak di Kelantan - Exco
Diterbitkan:  May 28, 2021 8:08 AM
Dikemaskini: 12:22 AM

Seramai 1,078 atau 18 peratus daripada 5,921 pesakit Covid-19 di Kelantan adalah golongan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin.

Beliau berkata antara daerah yang mencatatkan angka tinggi ialah daerah Kota Bharu yang menjangkau 517 kes, diikuti Pasir Mas (132 kes), serta Tumpat (120 kes), dan perkembangan ini menurutnya agak membimbangkan.

"Orang ramai diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak membawa anak-anak ke tempat awam. 

"Kita juga menasihati ibu bapa yang pulang ke rumah selepas berurusan di luar supaya membersihkan diri sebelum menyentuh atau berinteraksi dengan anak-anak mereka," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Exco Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin.

Selasa lepas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak dan bayi menimbulkan kebimbangan berikutan mereka merupakan golongan berisiko dijangkiti selepas warga emas.

Sementara itu menerusi hantaran di akaun Facebook, Dr Izani berkata Kelantan merekodkan 754 kes baru hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri ini adalah 24,723 kes dengan empat kluster baru.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS