Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kami minta vaksin untuk pelajar sejak Feb, kata kolej perubatan

Sebuah kolej perubatan swasta berkata mereka telah cuba memasukkan nama pelajar mereka dalam senarai penerima Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sejak Februari lalu.

Namun, menurut International Medical College (IMC), pihak berkuasa hanya memberikan maklum balas mereka minggu lalu.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, kolej itu berkata mereka telah menghubungi pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pengajian Tinggi, Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia, Lembaga Jururawat Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) berhubung perkara itu.

"Mengenai masalah vaksinasi bagi siswa, sejak Februari 2021, International Medical College (IMC) bersama-sama dengan International Medical University (IMU), telah melakukan upaya bersama dan bekerja secara aktif untuk menghubungi berbagai pihak berwajib untuk meminta pelajar perubatan, pergigian, kejururawatan dan Sains Kesihatan yang menjalani praktikum di hospital, klinik dan kemudahan kesihatan lain sebagai barisan hadapan untuk dimasukkan dalam senarai keutamaan untuk vaksinasi.

"Permintaan itu dibuat kerana para pelajar sama-sama merawat dan mengurus pesakit dalam sektor penjagaan kesihatan," kata kolej itu dalam kenyataannya.

Malaysiakini telah menulis kepada IMC dan IMU untuk memberi komen mereka mengenai isu tersebut setelah bapa kepada seorang pelajar IMC mengadu tidak adil bagi pelatih dipinggirkan kerana mereka juga menghadapi risiko yang sama dengan kakitangan barisan hadapan yang lain.

Bapa berkenaan juga mendakwa kolej itu bersikap tidak acuh apabila dia menyatakan kebimbangannya kepada mereka.

IMC memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dimaklumkan oleh KKM pada 20 Mei bahawa proses vaksinasi akan dimulakan untuk pelajar di Lembah Klang bermula 22 Mei.

Namun, menurut mereka, ia hanya melibatkan pelajar perubatan dan pergigian. 

Kenyataan IMC itu sejajar dengan respons KKM berkenaan isu itu pada Selasa lalu.

"Pada 20 Mei 2021, KPT telah memberitahu institusi pengajian tinggi swasta bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memulakan vaksinasi untuk pelajar perubatan dan pergigian di Lembah Klang dan Selangor mulai 22 Mei 2021.

"Kami membuat semakan susulan dengan kementerian dan pihak berkuasa mengenai vaksinasi untuk pelajar kejururawatan, sains kesihatan dan perubatan komplementari.

"Pelajar perlu memastikan mereka mendaftar untuk vaksinasi dan memantau makluman yang akan dihantar melalui Aplikasi MySejahtera mereka," kata kolej itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS