Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tabung Haji perkenal kaedah buka akaun secara maya

Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kaedah pembukaan akaun secara maya (VAO) menerusi pautan dan aplikasi THiJARI bagi menggalakkan bakal pendeposit berurusan dengan mereka secara dalam talian.

Pengenalan VAO merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital TH ke arah memperluaskan akses perkhidmatan, menjimatkan masa, mesra alam, selamat dan cekap.

Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad berkata VAO bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam membuka akaun dengan lebih mudah tanpa mengira mereka berada di mana saja.

“TH menyaran para pendepositnya untuk terus meningkatkan penggunaan perkhidmatan dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi mengurangkan interaksi secara bersemuka di kaunter cawangan di seluruh negara berikutan penularan Covid-19 yang amat membimbangkan kini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bakal pendeposit hanya perlu melayari laman sesawang www.thijari.com.my, kemudian mengisi butiran lengkap borang yang disediakan secara dalam talian dan seterusnya hadir di mana-mana cawangan TH bagi membuat pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan.

Kata Mustakim inisiatif itu sekali gus memudahkan urusan membuta akaun baru dari 15 minit kepada satu minit.

Pendeposit terbabit juga katanya akan diberi keutamaan di cawangan TH kerana telah melengkapkan permohonan mereka terlebih dahulu secara dalam talian.

“Bakal pendeposit perlu memenuhi syarat-syarat pembukaan akaun dan hanya perlu membawa MyKad dan amaun deposit permulaan,” katanya.

Selain itu, pendeposit yang mempunyai anak kandung di bawah umur 18 tahun juga boleh membuka akaun kanak-kanak menerusi THiJARI.

Mustakim berkata sejak THiJARI diperkenalkan pada Feb 2020 platform tersebut berjaya menarik lebih 800,000 pengguna di laman web dan 400,000 pengguna aplikasi THiJARI.

THiJARI merupakan perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan bagi memudahkan pendeposit melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan TH secara dalam talian seperti menyemak akaun, mencetak penyata dan perkhidmatan berkaitan haji termasuk pendaftaran.

Pada awal Mei 2021, simpanan terkumpul TH terus berkembang sihat kepada RM80 bilion dengan jumlah pendeposit aktif kira-kira sembilan juta orang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS