Pemuda Barisan Nasional (BN) menganggap isu ucapan kontroversi Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin telah selesai walaupun Naib Ketua Pemuda Umno itu tidak memohon maaf terhadap kata-katanya.
Ketuanya, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, pemuda BN harus bergerak ke depan dan tidak boleh membenarkan sentimen perkauman menjejaskan perpaduan dna kerjasama mereka.
"Khairy telah membuat penjelasan dalam mesyuarat hari ini. Semua ketua pemuda komponen BN menerima dan berpuas hati dengan penjelasan Khairy.
"Khairy telah menyatakan ucapannya telah disalahtafsir. Semua pihak menerima penjelasan Khairy dan saya anggap isu tersebut telah selesai," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pemuda BN di ibu negara hari ini.
Khairy dalam satu majlis perasmian mesyuarat pemuda Umno bahagian Jerlun, Kedah pada Ogos lalu mengingatkan ahli-ahli Umno jangan berpecah kerana orang Cina akan megambil kesempatan dengan membuat pelbagai tuntutan jika Umno lemah.
Kenyataannya itu telah menimbulkan bantahan dan kemarahan dari sayap pemuda komponen BN yang lain terutamanya MCA dan Gerakan.
Berikutan kenyataan tersebut, Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan meminta Khairy menarik balik kenyataannya dan meminta maaf kepada kaum Cina.
Hishammudin yang juga Ketua Pemuda Umno bagaimanapun tidak menyatakan samaada Khairy memohon maaf ketika membuat penjelasan itu.
Khairy turut hadir dalam sidang akhbar tersebut tetapi wartawan gagal mendapatkan penjelasan daripada beliau sendiri kerana dihalang oleh Hishamuddin.
Menteri Pelajaran itu menghalang soalan dikemukakan kepada Khairy dengan menegaskan "Saya yang mempengerusikan mesyuarat tadi jadi saya yang jawab semua soalan."
Hishamuddin berkata, semua Ketua Pemuda komponen BN telah diarahkan menjelaskan perkara ini kepada barisan exco masing-masing dan akar umbi mereka.
Komponen puas hati
Sementara itu dalam sidang media berasingan, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai (foto bawah-dua dari kanan) berkata, ucapan Khairy telah disalahtafsir dan akibatnya menimbulkan banyak masalah kepada akar umbi kaum Cina.
"Saya sebagai Ketua Pemuda MCA telah menyuarakan masalah ini dalam mesyuarat tadi dan Khairy dapat menerima pandangan tersebut.
"Saya dukacita perkara itu berlaku dan semua komponen BN akan pastikan ia tidak akan berulang lagi.
"Saya akan bawa penjelasan Datuk Seri Hishamuddin dan Khairy ini ke peringkat akar umbi Pemuda MCA. Saya percaya kepada keikhlasan Khairy," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan Datuk Mah Siew Keong juga (foto-dua dari kiri) akan membawa hasil menyuarat hari ini ke peringkat akar umbi parti itu.
"Khairy kata ucapannya telah disalahtafsir dan kita akan beritahu perkara ini ke peringkat akar umbi parti"ujarnya.
Bagaimanapun Mah mengingatkan, pemimpin BN perlu berhati-hati membuat kenyataan pada masa depan kerana sebarang ketelanjuran boleh memberi masalah kepada parti.