Tiada apa yang perlu disembunyikan oleh polis berhubung kematian A Ganapathy, kata Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe yang telah menarik balik tuntutan RM10 juta ke atas portal berita Free Malaysia Today berhubung dua artikel mengenai pertukarannya ke Bukit Aman.
Arifai akan dipindahkan ke Jabatan Integriti dan Pematuhan Piawaian Bukit Aman pada 21 Jun, dan FMT melaporkan pertukaran itu dengan tajuk utama berjudul “Under-fire Gombak Police Chief Transferred to Integrity Unit” dan “Ketua Polis Daerah Gombak Ditukarkan ke Unit Integriti Bukit Aman”
Artikel itu menekankan pertukaran Arifai dibuat ketika polis Gombak menjadi tumpuan berhubung kematian Ganapathy.
Dalam wawancara dengan portal berita itu, Arifai berkata bahawa dia terganggu kerana laporan berkenaan mengaitkan pertukarannya dengan kes Ganapathy.
"Namun selepas merenung kembali hal ini, saya sedar tidak ada niat untuk memburukkan saya, dan pemberita hanya melaksanakan tugas melaporkan berita.
“Sebab itu saya mengambil keputusan untuk selesaikan perkara ini secara baik dengan FMT. Kita bersetuju untuk mengadakan pertemuan, dan, saya menjelaskan kedudukan saya dan FMT pula menegaskan tidak ada niat untuk memburukkan saya atau anak buah saya.
“Jadi saya tarik balik saman terhadap FMT," katanya seperti dilaporkan portal berkenaan.
Arifai menjanjikan ketelusan dalam siasatanterhadap dakwaan penderaan ke atas Ganapathy ketika dalam tahanan polis.
Dia berkata kes itu dan kemudiannya, kematian S Sivabalan, yang didakwa meninggal sekitar 70 minit setelah ditangkap oleh polis Gombak pada 20 Mei, telah mempengaruhi moral pegawai dan anggota keluarga mereka.
"Kematian Ganapathy, dan kemudian kematian S Sivabalan…kejadian seperti ini amat mendukacitakan kami. Mana ada polis yang mahu menganiaya atau membahayakan nyawa tahanan? Saya mahu tegaskan: anggota dan pegawai saya tidak menganiayai atau mencederakan mana-mana tahanan.
“Saya sudah terbiasa dengan kritikan, memandangkan sudah bertahun-tahun saya berdepan masyarakat (selaku pegawai polis) tapi (dalam kes Ganapathy), saya betul-betul terasa apabila anak-anak saya diejek sebagai mempunyai ‘bapa jahat’ oleh kawan-kawan mereka dan komen – komen negatif netizen.
“Anak-anak saya tahu tuduhan kawan-kawan mereka itu tidak benar sama sekali, tapi mereka terasa, dan hati saya, sebagai seorang bapa, remuk bila tengok mereka bersedih,” kata Arifai.
Arifai berkata tuduhan penderaan atau salah laku polis memberi anggota pasukan, sambil menambah bahawa sukar untuk mengubah persepsi mengenai perkara itu.
“Siapa yang mahu dilabel (mendera orang)? Tak munasabah kami mahu berkelakuan dalam cara yang akan menyebabkan anggota polis dipandang serong masyarakat.
“Bagi pasukan polis, rukun kami adalah ‘masyarakat dan polis berpisah tiada’, jadi kami tidak mahu dipandang serong masyarakat,” tambahnya lagi.
Atas sebab itu dia menegaskan bahawa pihaknya terbuka untuk inkues setelah siasatan selesai.
Ganapathy dilaporkan ditangkap pada 24 Februari untuk membantu siasatan yang berkaitan dengan abangnya yang dikehendaki oleh polis. Pada 11 Mac, ibu si mati, S Thanaletchumy, mendakwa bahawa anaknya dipukul ketika dalam tahanan.
Dakwaan itu dibuat setelah dia dihubungi oleh seorang polis pada 8 Mac, untuk dimaklumkan bahawa anaknya dibebaskan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang.
Ganapathy meninggal dunia di hospital pada 18 April.
Polis juga sedang menyiasat dua wartawan Malaysiakini berhubung kes Ganapathy.
Selain itu polis juga turut menyiasat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai video disiarkannya yang meminta keadilan dalam kes tersebut.
Arifai menafikan bahawa Ganapathy didera, bahkan pihaknya telah menerima bekalan ubat dari keluarga mangsa pada hari yang sama dia memberitahu tentang diabetes dan masalah jantungnya dihadapinya.
“Kami telah bawa Ganapathy ke Mahkamah Majistret sebanyak tiga kali dan ke hospital, empat kali, tidak pernah sekali pun mendiang beritahu hakim atau kakitangan kesihatan dia didera polis,” tambah Arifai lagi.