Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
12 kluster Aidilfitri dikesan setakat ini, KKM jangka lebih banyak lagi
Diterbitkan:  May 26, 2021 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Kementerian Kesihatan mengesan 12 kluster Covid-19 yang berkaitan dengan perayaan Aidifitri yang disambut pada 13 Mei lalu.

Perkara itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini.

"Jumlah ini dijangka akan bertambah dan mungkin melibatkan lebih banyak negeri," katanya.

Menurut carta yang dikongsinya, 12 kluster tu melibatkan 470 kes yang disahkan setakat ini, daripada 2,541 orang yang disaring.

Daripada jumlah tersebut, 70 orang telah melaporkan gejala.

Dua orang dimasukkan ke unit rawatan rapi, kedua-duanya melibatkan kluster Simpang Sahari di Labuan yang menjangkiti 88 orang.

Satu orang telah mati, yang melibatkan kluster Jalan Tahir Manan di Kuala Selangor yang telah menjangkiti 24 orang.

Kluster pertama seumpamanya adalah kluster Muhibbah Dua yang dikenal pasti di daerah Lahad Datu, Sabah, di mana 14 kes telah dilaporkan setakat ini. Ini hanya enam hari selepas bermulanya perayaan Aidilfitri.

Setakat ini, kluster Aidilfitri terbesar adalah kluster Kepulauan Tumpat di Kelantan, di mana 184 orang telah diuji positif daripada 1,451 orang yang disaring. Kluster ini pertama kali dikesan pada 22 Mei.

 

Mengikut negeri, Sabah mencatat kluster berkaitan Aidilfitri tertinggi, iaitu empat. Kelantan dan Labuan masing-masing melaporkan dua kluster; sementara Selangor, Sarawak, Pulau Pinang dan Pahang masing-masing melaporkan satu kluster.

Untuk rekod, kerajaan pusat telah melarang rumah terbuka dan ziarah Aidilfitri di seluruh negara, dan sekatan telah dikenakan untuk mengehadkan jumlah orang yang hadir di masjid dan surau semasa solat Hari Raya.

Bagaimanapun, kerajaan Sabah telah membenarkan ziarah Hari Raya, kerana jumlah kes Covid-19 yang rendah di negeri itu pada masa itu.

Di Sabah, kluster Deluxe di Penampang dan Semporna, kluster Abaka di Tawau, dan kluster Muhibbah Dua di Lahad Datu mencatatkan 71 kes kesemuanya setakat ini.

Sementara itu, kluster Melikai melibatkan Kuala Penyu di Sabah dan Labuan. Kluster ini mempunyai 21 kes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS