Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gangguan seksual dalam sukan: 'Tiada perlindungan pada pihak didapati bersalah'
Diterbitkan:  May 26, 2021 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican Naina Merican berkata pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pihak dalam siasatan dakwaan gangguan seksual dalam sukan renang, seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Reezal berkata, dia berasa terganggu dan marah selepas membaca laporan berkenaan bekas perenang kebangsaan, Cindy Ong berhubung gangguan seksual yang didakwa dihadapinya, termasuk daripada jurulatih.

"Sekiranya tiada tindakan, perkara ini boleh terjadi dan terus terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira atlet, pegawai, jurulatih mahupun staf sokongan, lelaki atau wanita.

"Saya telah arahkan pegawai bersama Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghubungi Cindy serta membantu untuk membuat laporan polis.

Cindy Ong

"Saya juga akan pastikan MSN memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan mereka. Tiada kompromi dan perlindungan untuk mana-mana jurulatih dan pegawai jika didapati bersalah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu didedahkan Wong dan seorang lagi bekas perenang yang enggan dinamakan dalam satu wawancara bersama Malaysiakini yang disiarkan pagi semalam.


Baca: Berenang dengan 'buaya' - atlet imbau gangguan seksual jurulatih


Malaysiakini telah menghubungi Majlis Sukan Negara untuk mendapatkan komen.

Dalam pada itu, Reezal berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN akan terus memperkasa platform untuk memudahkan atlet dan pegawai membuat laporan, antaranya menerusi Jawatankuasa Perwakilan Atlet MSN dan Jawatankuasa Salah Laku dan Gangguan Dalam Sukan di bawah MSN, serta Suruhanjaya Atlet di bawah Majlis Olimpik Malaysia.

"Setiap atlet dan pegawai harus berada dalam suasana yang selamat di dalam pusat latihan kebangsaan.

"KBS akan terus menyokong inisiatif untuk memastikan isu gangguan seksual di kalangan atlet dan bakal atlet dapat ditangani secara menyeluruh. Tiada ruang untuk perkara sebegini terus berlaku dan mengganggu usaha pembangunan bakat dan sukan negara," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS