Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK gesa Rina jelaskan status RUU gangguan seksual
Diterbitkan:  May 26, 2021 5:09 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Pemuda PKR (AMK) menuntut agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjelaskan status usaha penggubalan Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengatakan bahawa usaha untuk menggubal undang-undang tersebut telah memakan masa lebih dari 20 tahun dan tidak boleh ditangguhkan lagi.

"Rina Harun selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal penggubalan undang-undang berkaitan Akta Gangguan Seksual ini diminta untuk menjelaskan status usaha tersebut dan memberikan cadangan garis masa hingga RUU Akta Gangguan Seksual ini dapat direalisasikan," kata Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru.

Pada Februari lalu, berikutan pendedahan wanita yang didakwa diganggu oleh anggota polis ketika sekatan jalan perintah kawalan pergerakan (PKP), Rina mendakwa bahawa draf rang undang-undang itu dalam "tahap akhir".

Dia mengatakan bahawa rang undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen, apabila bersidang pada bulan Ogos. Namun, dengan kes dan kematian Covid-19 yang baru meningkat sejak Mac, tiada kepastian bila Parlimen dapat bersidang.

Kenyataan Akmal hadir ketika beberapaatlet renang memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah mengalami serangan dan gangguan seksual.

Akmal berkata, pendedahan atlet renang berkenaan pasti akan memalukan negara ini di peringkat antarabangsa.

"Di atas sebab itu, ianya menuntut suatu tindak balas yang proaktif dan tegas daripada kementerian berkaitan untuk menyiasat adakwaan saudari Cindy Ong yang secara tidak langsung memberi isyarat masih terdapat banyak lagi kes sebegini yang disenyapkan," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, bekas timbalan menteri belia dan sukan Steven Sim mendesak Kementerian Belia dan Sukan untuk memasukkan usaha menangani serangan dan gangguan seksual sebagai sebagian daripada Visi Sukan Negara 2030.

"Saya juga berharap agar sebuah jawatankuasa untuk menangani serangan dan gangguan seksual diperkasakan lebih jauh," kata Sim, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam.

Sim mengatakan bahawa pentadbiran Pakatan Harapan sebelumnya telah membentuk jawatankuasa itu, yang diketuai oleh Low Beng Choo, yang merangkumi beberapa atlet wanita kebangsaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS