Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi gesa umat Islam ambil vaksin
Diterbitkan:  May 26, 2021 1:37 PM
Dikemaskini: 5:37 AM

Semua pihaknya sepatutnya berperanan menyedarkan masyarakat, khususnya umat Islam, mengenai kepentingan vaksin Covid-19 dan bukannya berdebat mencari kesalahan, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, dalam tempoh "darurat kesihatan", seluruh rakyat harus bersatu padu tanpa mengira perbezaan agama, bangsa dan politik, kerana wabak itu boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

"Saya membaca berita yang dilaporkan di media perdana dan sebahagiannya di media sosial, bahkan saya juga membaca apa yang tersurat dan tersirat di sebalik laporan berita tersebut.

"Kini, bukan masanya untuk kita berdebat mencari kesalahan dan kelemahan kerana bentuk serangan wabak yang sedang dihadapi hari ini sudah berubah.

"Sepatutnya semua pihak berperanan menyedarkan masyarakat seperti perlunya suntikan vaksin kerana Islam meletakkan turutan menjaga nyawa adalah wajib diutamakan, sehingga dihalalkan perkara yang haram dalam ayat-ayat al-Quran," katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Dua hari lalu, dilaporkan kira-kira 10,000 individu yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan tidak hadir untuk menerima suntikan berkenaan.

Hari ini pula, dilaporkan seramai 10,827 daripada 30,100 individu yang diberi janji temu melalui aplikasi MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kedah dikesan tidak hadir antara 19 April hingga 22 Mei lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Fikri Ujang, punca ketidakhadiran itu antaranya mereka bertukar fikiran disebabkan belum bersedia untuk menerima suntikan vaksin.

Ketidakhadiran itu di tengah-tengah kadar pendaftaran vaksinasi yang perlahan. Setakat semalam, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) telah menerima 11,069,418 pendaftaran - kira-kira 45.6 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia.

Antara isu yang dihadapi adalah propaganda golongan yang dianggap sebagai antivaksin, yang antara lain membuat dakwaan tidak berasas yang vaksin mengandungi bahan terlarang, selain "agenda Yahudi".

Selain itu, berlaku juga penularan akibat sesetengah pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika bersembahyang jemaah.

Dalam pada itu, Abdul Hadi mengingatkan agar tiada pihak yang mengeluarkan kenyataan terutama berkaitan Islam "tanpa mempunyai ilmu".

"...Lebih-lebih lagi ketika keadaan darurat, kerana ia boleh merosakkan imej agama sendiri dan membawa kemudaratan ke dalam masyarakat umum.

"Para ulama khususnya para mufti perlu berijtihad secara berjamaah, jangan memberikan pendapat secara berseorangan kerana masanya tidak sesuai untuk menonjolkan diri masing-masing," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS