Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam: Walau tamat penggal, Adun S'wak kekal sehingga DUN dibubar

Pakar perundangan setuju bahawa Ordinan Darurat membolehkan wakil rakyat Sarawak kekal dengan jawatan itu, melangkaui penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berakhir 6 Jun ini.

Mereka kekal sebagai Adun sehinggalah Yang di-Pertuan Agong memutuskan tarikh baru untuk membubarkan DUN dan melaksanakan pilihan raya neger, kata mereka.

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Shad Saleem Faruqi membangkitkan Seksyen 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Seksyen itu membatalkan mana-mana peruntukan perlembagaan negeri berkaitan memanggil, memprorog dan membubarkan DUN.

Ia juga memberi kuasa kepada Agong untuk memanggil, memprorog dan membubarkan DUN pada tarikh yang sesuai selepas mendapat nasihat ketua negeri.

Memprorog DUN bermakna untuk menghentikan perjalanannya tanpa pembubaran. Sidang DUN kekal walaupun tidak bersidang.

"Dengan prorog, mereka kekal Adun dan akan menerima gaji," kata Shad.

Berkongsi pandangan sama, peguam Lim Wei Jiet bagaimanapun berkata ordinan darurat tidak menyebut perihal Adun yang tiada kuasa eksekutif.

"Ia boleh menyiratkan yang jika DUN tidak dibubarkan secara teknikal, Adun akan kekal sebagai Adun.

"Menarik untuk melihat jika ada mana-mana pihak mencabar perkara ini di mahkamah kerana ia tidak jelas," katanya ketika dihubungi.

Shad yang merupakan pakar perlembagaan, menambah yang Ordinan Darurat mengalihkan kuasa membuat keputusan daripada negeri kepada Agong dan kerajaan persekutuan.

"Peruntukan dalam perlembagaan negeri berkenaan memanggil, memprorog dan membubarkan (DUN) digantung dan kuasa itu diberi kepada Agong, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri.

"Jadi secara dasarnya ia bermakna kerajaan persukutuan (buat keputusan). Semuanya dipusatkan," katanya lagi.

Selain itu, Seksyen 13 Ordinan Darurat juga menggantung pilihan raya dan membolehkan Agong menentukan bila pilihan raya negeri diadakan.

Seksyen 11 pula membolehkan mana-mana menteri besar dan barisan exco yang memegang kuasa sebelum penguatkuasaan darurat pada 11 Januari lalu, untuk kekal dengan kuasa itu sehingga darurat tamat.

Semalam, Agong menasihatkan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Abang Openg dan kabinetnya agar terus berfungsi selepas 6 Jun.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS