Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ebit Lew berlepas bersama misi kemanusiaan ke Gaza
Diterbitkan:  May 25, 2021 11:37 PM
Dikemaskini: 3:50 PM

Tanpa publisiti yang banyak untuk mengumpul dana, pendakwah dan usahawan berpengaruh, Ebit Lew, berlepas ke luar negara dengan membawa misi kemanusiaan buat Gaza, Palestin.

Tidak banyak maklumat mengenai misi itu didedahkan setakat ini. Bagaimanapun dalam hantaran di media sosial menjelang tengah malam ini Ebit meminta orang ramai mendoakan perjalan dan misi berkenaan berjaya disempurnakan.

"Semoga Allah bantu dan mudahkan semuanya. Ya Allah bantulah kami dan hanya kepada-Mu kami berserah," katanya.

Ebit juga menyatakan tiket penerbangan berkenaan ditaja oleh syarikat penerbangan Turkish Airlines. 

Sementara itu Menteri Luar Hishammuddin Hussein membayangkan Ebit dan rombongannya berlepas ke Mesir sebelum menyempurnakan misi kemanusiaan tersebut.

"Perlukan apa-apa, maklumkan sahaja. Insya-Allah, perwakilan Malaysia di Kaherah, Mesir akan cuba bantu.

"Semoga selamat sampai ke destinasi ustaz!" katanya di Facebook dengan mengepilkan hantaran Ebit.

Gaza baru-baru ini diserang oleh tentera Zionis selepas berlaku ketegangan di antara kedua-dua pihak. Bagaimanapun keadaan agak aman sekarang selepas Tel Aviv dan Hamas - yang berkuasa di Gaza - bersetuju mengadakan gencatan senjata.

Sebahagian kecil sempadan Mesir di bahagian timur negara itu bersempadan dengan Gaza. Ketika Mesir diperintah Mohamed Morsi kerajaan negara itu membuka sempadannya di Rafah kepada penduduk Palestin.

Bagaimanapun keadaan kembali kepada asal - iaitu Gaza terkepung dari segenap arah - selepas Morsi digulingkan Abdel Fattah al-Sisi.

Dianggarkan bahagian timur Mesir 170km sempadannya bersebelahan dengan Israel manakala baki 11km lagi berjiran dengan Gaza.

Sementara itu Bernama melaporkan misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin dirancang Ebit Lew mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) semasa.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata pihaknya menerima panggilan daripada Ebit Lew hari ini bagi memaklumkan misi kemanusiaan itu yang dijadual bermula hari ini hingga 30 Mei.

"Misi kemanusiaan ke Mesir ini bertujuan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang telah terkesan teruk ekoran serangan rejim Israel ke atas Gaza.

"Urusan yang melibatkan misi tersebut dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Mesir.

"Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir," katanya.

Kementerian tawar bantuan

Kamarudin berkata walaupun misi itu adalah inisiatif sendiri, delegasi Ebit Lew dinasihatkan agar sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Mesir.

"Selain itu, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi.

"Ini penting terutamanya demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak," katanya.

Kamarudin turut mengingatkan delegasi itu untuk turut mematuhi semua SOP dalam negara yang sedang berkuat kuasa apabila kembali ke Malaysia.

Kamarudin berkata secara dasarnya, kementerian itu menyokong penuh usaha delegasi Ebit Lew dan sentiasa mengalu-alukan NGO lain untuk turut menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu rakyat Palestin termasuk mewujudkan tabung-tabung bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan.

"Dalam perkara ini, sekiranya diperlukan kementerian boleh membantu untuk menyalurkan dana yang telah selesai dikumpul oleh NGO ini kepada pihak berwajib di Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri.

"Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, selain membantu memudahkan usaha NGO, kerajaan juga melalui Kementerian Luar akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS