Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dua lelaki ditahan polis, ganja lebih 200kg dirampas

Polis menahan dua lelaki tempatan serta merampas lebih 202kg dadah disyaki jenis ganja bernilai lebih RM506,000 dalam beberapa serbuan di Kubang Pasu dan Perlis pada Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Kedah Mohd Roze Shaari berkata dalam serbuan pertama oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah/Perlis itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di depan sebuah pasar raya di Changlun pada jam 1.45 tengah hari.

"Polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta jenis Proton Inspira dan menjumpai enam guni putih dalam but kereta mengandungi 20 slab berbalut kertas kuning keemasan dan plastik lut sinar berisi mampatan daun kehijauan disyaki ganja dengan anggaran berat 121,785 gram.

"(Susulan itu) serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Kampung Padang Satu di Bukit Kayu Hitam pada kira-kira 3 petang dan dijumpai empat guni mengandungi 81 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja, anggaran berat 80,869 gram (dalam bilik)," katanya pada sidang akhbar di Alor Setar hari ini.

Mohd Roze berkata susulan itu satu lagi serbuan dibuat pada malamnya dan menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Kampung Melayu, Padang Besar, Perlis.

Katanya siasatan awal mendapati suspek pertama merupakan seorang penggangur, memiliki tiga rekod lampau dan saringan urin mendapati lelaki itu positif dadah jenis metamfetamin.

"Suspek kedua juga tidak bekerja tapi tiada rekod jenayah manakala saringan urin negatif.

"Kedua-dua suspek direman hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Selain ganja, beliau berkata polis merampas sebuah kereta mewah jenis BMW dan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Katanya polis percaya suspek sudah lama terlibat dengan kegiatan jenayah itu dan dadah tersebut disyaki diseludup dari negara jiran untuk pasaran di Kedah serta Perlis.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS