mk-logo
Berita
MP PAS duduki jawatan pengerusi PTPK tak setuju amalan lantikan politik

Walaupun dia sediri mendapat kedudukan atas lantikan politik, Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, tetap tidak bersetuju untuk membiarkan ahli politik mengetuai agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Malah kata timbalan ketua Pemuda PAS itu, dia bersedia mengundurkan diri dari menjadi pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) jika kerajaan memberi jaminan kekosongan itu nanti diisi dengan seseorang dari partinya juga.

Untuk rekod PTPK adalah badan berkanun yang terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia bertujuan mengagihkan pinjaman untuk kursus latihan kemahiran yang bertauliah.

Kementerian Sumber Manusia diketuai Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, manakala timbalannya ialah ahli Jawatankuasa Pusat PAS Awang Hashim.

Pagi tadi Ahmad Fadhli tampil sebagai satu-satunya ahli parlimen yang menjadi panel dalam forum anjuran Bersih bagi membincangkan mengenai langkah pembaharuan jawatan dalam GLC dan badan berkanun dilantik.

Bercakap atas kapasiti peribadi, Ahmad Fadhli berkata dia bersetuju secara prinsip untuk membiarkan teknokrat yang berkelayakan menguruskan syarikat seperti itu, bukannya ahli politik.

"Tetapi pada saya lebih suka untuk mengetengahkan idea asal PAS dalam good governance (urus tadbir yang baik) ini iaitu meletakkan kerajaan teknokrat sebagai satu amalan.

"Letakkan (orang) yang benar-benar layak mengepalai badan-badan seperti badan berkanun mahupun GLC.

"Namun kerajaan pada hari ini tidak termaktub daripada satu (gabungan) politik yang kukuh, ia terbentuk melalui satu persepakatan yang timbul di tengah-tengah pergolakan politik yang saya kira adalah tidak terjangka. 

"Persefahaman itu merupakan persefahaman yang longgar," katanya.

Sedia lepas bila-bila masa

Ahmad Fadhli juga tidak bersetuju dengan kuasa mutlak perdana menteri untuk membuat lantikan politik ke jawatan dalam kerajaan.

"Tetapi isunya, selalunya, pelantikan ini ditentukan oleh perdana menteri 'secara mutlaknya'. Bagi saya, ini perlu diperbaiki mulai sekarang, " katanya.

Ahli parlimen Pasir Mas itu juga mengakui perkara berkenaan adalah amalan "tidak sihat".

Ahmad Fahdli memegang jawatan di PTPK itu sejak April 2020, sebulan selepas berlakunya Langkah Sheraton yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan sebelum diganti dengan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan.

Dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, PAS - seperti Umno - gagal mendapat mandat untuk menjadi kerajaan namun dengan langkah dibuat Bersatu kedua-dua parti berkenaan berjaya menguasai Putrajaya dan hampir semua negeri.

Semasa PH mentadbir negara gabungan itu melakukan banyak pembaharuan dalam lantikan ke jawatan tertinggi GLC dengan mengutamakan individu profesional, bukan lagi ahli parlimen.

Ketika berkempen bagi menghadapi PRU ke-14 pada 2018 PAS menawarkan kerajaan teknokrat iaitu memberikan tugas kepada seseorang yang pakar dan bidang tertentu selain memiliki kemampuan intelektual.

Panel yang menyertai forum anjuran Bersih hari ini 

Selain Ahmad Fadhli, Ahli Parlimen Pasir Puteh merangkap Ketua Ulama PAS Pusat Nik Muhammad Zawawi Salleh turut diberi jawatan sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit, pula diberikan jawatan pengerusi Institut Terjemahan Buku Negara.

Ahmad Fadhli berkata, dia tidak bermasalah untuk meletakan jawatan bila-bila masa tetapi secara bersyarat.

"Iaitu kalau letak jawatan tetapi syaratnya yang menerima atau menduduk di tempat saya juga daripada MP PAS atau PAS akan tentukan siapa akan berada di tempat ini, untuk meneruskan dasar-dasar PAS," katanya.

Ahmad Fadhli juga mengakui realiti bahawa kerajaan PN sekarang memiliki majoriti yang tipis adalah antara faktor yang membawa kepada pelantikan politik.

Pada masa sama dia memberi jaminan ahli parlimen PAS tidak akan meninggalkan PN walaupun tidak diberikan sebarang jawatan GLC.

"Jawatan GLC sebagai umpan untuk sokongan kepada kerajaan, itu tidak betul, tetapi untuk menafikannya 100 peratus pun agak tidak tepat," katanya.

[Baca laporan penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS