Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia mampu capai sasaran pertumbuhan ekonomi jika Covid-19 distabilkan

Kerajaan menjangkakan sasaran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2021 sebanyak 6.0 hingga 7.5 peratus boleh dicapai sekiranya krisis kesihatan pandemik Covid-19 dapat distabilkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata ketersediaan vaksin dan program vaksinasi menyeluruh dalam kalangan rakyat akan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

"Jadi, kalau kita andaikan bahawa peratusan rakyat Malaysia yang disuntik mengikut jadual atau dapat dipercepatkan (meningkat) serta keadaan Covid-19 dapat dikawal maka kita akan dapat melihat penurunan positif kes Covid-19.

“Dan ia sudah pasti ini akan memberi kesan positif kepada kedudukan ekonomi Malaysia," katanya semasa sidang media mengenai Penunjuk Ekonomi: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan bagi bulan Mac 2021, di Kuala Lumpur hari ini.

Indeks Pelopor (IP) melonjak 17.3 peratus pada Mac 2021, jauh lebih tinggi berbanding peningkatan sebanyak 8.2 peratus pada Januari dan 8.6 peratus pada Februari tahun ini.

Mustapa berkata prestasi yang baik itu adalah selaras dengan pertumbuhan KDNK pada Mac, 2021 sebanyak 6.0 peratus.

Menurutnya, momentum pertumbuhan ini akan terjejas sekiranya kerajaan memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh bagi tempoh 25 Mei hingga 7 Jun 2021.

"Sekatan pergerakan penuh akan menyebabkan kadar penggangguran meningkat dengan mendadak, bilangan isi rumah miskin akan bertambah, prestasi syarikat kecil dan besar akan terjejas dan kedudukan fiskal akan berada dalam keadaan yang lebih mencabar," katanya.

Mustapa berkata semasa libat urus dengan wakil industri, perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta persatuan penjaja pada 22 dan 23 Mei 2021, sebahagian besar daripada mereka bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) 3.0.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS