Polis Kelantan menumpaskan sindiket pecah rumah serta membawa lari kenderaan mangsa diketuai seorang lelaki Melayu dengan tertangkapnya tujuh suspek baru-baru ini.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata berkata tangkapan dibuat di sekitar daerah Kota Bharu, Pasir Puteh, Tumpat dan Bachok sejak April lalu.
Katanya polis juga berjaya merampas 10 buah kereta, telefon bimbit, komputer riba, jam tangan serta dron yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah dan curi sindiket terbabit
Menurut Shafien tujuh lelaki terbabit berumur antara 20-an hingga 40 tahun ditumpaskan oleh sepasukan khas yang ditugaskan untuk memburu mereka yang dikenali sebagai kumpulan Goldcar.
“Dengan tertangkapnya suspek terbabit polis percaya kami berjaya menyelesaikan 27 laporan yang diterima melibatkan kes pecah rumah dan melarikan kereta," katanya dalam sidang media di Kota Bharu hari ini.
Shafien menambah nilai rampasan dianggarkan hampir RM600,000.
“Modus operandi geng Goldcar ini ialah mencari barang kemas dan wang tunai terlebih dulu namun jika gagal mereka akan melarikan kereta mangsa," katanya.
Menurut Shafien lagi selain mempunyai anggota untuk memecah masuk premis dan mencuri, mereka juga dibantu jaringan pembeli barangan yang dilarikan.
"Dah macam satu pakej,” katanya.
Dua daripada suspek terbabit, kata Shafien, sudah didapati bersalah oleh mahkamah dan dikenakan hukuman penjara enam bulan, manakala lima yang lain masih ditahan reman sehinga 28 Mei ini.
“Siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 457 bagi kes pecah rumah dan seksyen 395 bagi kes-kes samun,”katanya.
Tambah Shafien lagi, ketua Goldcar itu sebelum ini pernah dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 dan menjadi buruan utama polis atas pembabitannya dalam 18 kes jenayah.
Antara kes yang membabitkan lelaki terbabit, katanya, ialah pecah rumah, curi kenderaan, samun dan dadah.