Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pengurus Mardi Kuala T'ganu didakwa pecah amanah
Diterbitkan:  May 25, 2021 2:59 PM
Dikemaskini: 6:59 AM

Bekas pengurus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Kuala Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan pecah amanah berjumlah RM14,250, dua tahun lalu.

Tertuduh Mohd Saiful Nizam, 40, didakwa melakukan kesalahan itu dengan tidak menyerahkan wang pembayaran sewa kiosk selama sembilan bulan berserta deposit kepada Bahagian Kewangan Mardi Kuala Terengganu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat MARDI Kuala Terengganu antara Januari hingga September 2019 dan didakwa Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Dazuki Ali menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan serta menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Athikah Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini untuk sebutan semula kes.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS