Selain perlu memperkemas prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0), kerajaan perlu membenarkan pendaftaran vaksinasi secara “walk-in” dalam usaha menangani penularan Covid-19 yang kian memburuk, kata Exco Pemuda Umno Mustafa Shah Abdul Hamid.
Mustafa berkata, di saat ada yang kurang yakin dengan pengambilan vaksin, ramai yang ingin mendapatkannya tetapi masih belum berpeluang.
“Kerajaan perlu mempertingkatkan sistem penyampaian selain perlu lebih terbuka dengan membenarkan pendaftaran vaksinisasi secara ‘walk-in’ kerana ramai di luar sana yang berhasrat untuk mendapatkan vaksin namun masih belum berpeluang.
“Kita sedar akan kos pembelian vaksin dan ketahanan vaksin jika ia dibawa keluar dari pusat penyimpanan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia turut membangkitkan apa yang berlaku di Kelantan, apabila hampir 10,000 individu di negeri itu tidak hadir untuk divaksinasi.
Menurutnya, ia menunjukkan isyarat jelas bahawa rakyat tidak menerima maklumat yang tepat serta yang dapat meyakinkan mereka berkenaan pengambilan vaksin.
“Kerajaan perlu mencari formula berkesan bukan saja untuk menyakinkan rakyat, malah mempercepatkan lagi rakyat Malaysia menerima vaksin,” katanya yang juga ketua Pemuda Umno Kuala Kangar.
Sejumlah pihak mengkritik kerajaan kerana menurut mereka, kadar vaksinasi yang rendah daripada sasaran tetapi Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata ia akan meningkat bermula bulan depan.
Semalam dilaporkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan khususnya golongan warga emas (berusia 60 tahun ke atas) dikesan gagal hadir untuk menerima vaksin sehingga 23 Mei.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin berkata antara punca ketidakhadiran mereka adalah disebabkan masalah kesihatan dan terdapat juga di kalangan mereka yang tidak dapat hadir disebabkan masalah peribadi dan menunda ke tarikh lain.
Namun, ada juga individu yang sudah mendaftar tetapi gagal dihubungi atau tidak menjawab panggilan pemberitahuan janji temu untuk menerima vaksin.