Pemimpin kerajaan Kelantan melahirkan rasa kecewa terhadap sambutan dingin rakyat terhadap program vaksinasi Covid-19.
Malah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata, rakyat negara bukan Islam telah berjaya menyambut baik program vaksinasi tetapi rakyat negara kita tidak berbuat begitu.
"Kita (di kedudukan) tercorot dengan berbagai alasan.
"Bersamalah memberi sokongan dalam usaha kerajaan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 kebangsaan ini.
"Vaksinasi ini amat penting untuk kita semua bagi membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dengan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Hantaran itu turut disertakan data penerimaan vaksin oleh penduduk negara-negara lain antaranya Israel dan Amerika Syarikat.
Terdahulu media melaporkan, hampir 10,000 penduduk di Kelantan khususnya golongan warga emas (berusia 60 tahun ke atas) dikesan gagal menghadirkan diri untuk menerima vaksin sehingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin berkata antara punca ketidakhadiran mereka adalah disebabkan masalah kesihatan.
Menurutnya, terdapat juga di kalangan mereka yang tidak dapat hadir disebabkan masalah peribadi dan menunda ke tarikh lain.
Sebagai rekod sehingga semalam seramai 340,000 penduduk Kelantan yang sudsh berdaftar sebagai penerima vaksin, namun jumlah itu antara yang terendah di Malaysia.
Sehubungan itu, Izani menyeru kepada orang ramai untuk tampil mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
Katanya, program imunisasi ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan daripada menjadi tidak terkawal.