Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LRT laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa
Diterbitkan:  May 25, 2021 8:12 AM
Dikemaskini: 5:01 AM

Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT ) Laluan Kelana Jaya masih beroperasi seperti biasa bermula 6 pagi ini dengan menggunakan satu landasan (single track) serta disokong oleh perkhidmatan bas perantara percuma.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan di sini hari ini memaklumkan perkhidmatan berkenaan beroperasi dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu lain selain pengurangan kapasiti 50 peratus penumpang, susulan langkah lebih ketat kerajaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Penumpang dijangka perlu menunggu lebih lama sedikit daripada biasa. Bagaimanapun kekerapan tren mungkin akan diubah suai mengikut keperluan semasa operasi,” menurut kenyataan itu.

Untuk melancarkan pergerakan penumpang pada waktu puncak, lima bas perantara dua tingkat disediakan secara percuma dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.

Perkhidmatan LRT laluan berkenaan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari setelah kerja pembersihan dan pemulihan termasuk proses sanitasi di Stesen KLCC dan kawasan sekitarnya selesai dijalankan bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

"Prasarana kesal dengan kejadian yang berlaku dan akan terus memantau perkembangan penumpang yang terlibat dalam insiden semalam serta akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung insiden tersebut.

“Pengguna perkhidmatan Rapid KL kini boleh merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah menggunakan aplikasi 'PULSE’ yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store atau Apple App Store," menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 malam semalam, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren yang membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS