Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hampir 10,000 orang tak hadir terima vaksin di Kelantan

Hampir 10,000 penduduk di Kelantan khususnya golongan warga emas (berusia 60 tahun ke atas) dikesan gagal menghadirkan diri untuk menerima vaksin sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Zaini Hussin berkata antara punca ketidakhadiran mereka adalah disebabkan masalah kesihatan.

Menurutnya, terdapat juga di kalangan mereka yang tidak dapat hadir disebabkan masalah peribadi dan menunda ke tarikh lain.

"Selain itu ramai juga yang tidak memaklumkan sebarang alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Kesemua yang tidak hadir mendapat suntikan vaksin ini adalah mereka yang berdaftar bagi fasa kedua. 

"Apabila dapat senarai sehari atau dua hari sebelum, pihak kami akan menghubungi setiap orang sama ada mereka boleh hadir atau tidak pada masa yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi media di Kota Bharu, hari ini.

Namun tambah Dr Zaini, pihaknya mengesan ada juga individu yang sudah mendaftar tetapi gagal dihubungi atau tidak menjawab panggilan pemberitahuan janji temu untuk menerima vaksin.

"Bukan 100 peratus kita dapat hubungi kerana terlalu ramai yang mendaftar di aplikasi MySejahtera dan ada juga dalam kalangan mereka yang tidak menjawab panggilan," ujarnya.

Sehubungan itu jelasnya, mereka yang mahu menunda tarikh atau lokasi PPV perlu menghubungi hotline MySejahtera untuk berbuat demikian.

Menurutnya, jika individu tidak dapat hadir untuk mendapatkan vaksin pada tarikh janji temu yang ditetapkan, pihaknya akan menghubungi orang lain untuk menggantikan tempat bagi mengelakkan pembaziran bekalan vaksin.

"Setakat ini, kami membuka PPV di Kota Bharu, Pasir Putih, Jeli, Machang, Kuala Krai dan Bachok.

"Sehingga semalam, lebih 340,000 individu mendaftarkan nama mereka melalui MySejahtera dan jumlah berkenaan masih rendah," kata Dr Zaini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS