Ahli pemasaran Anoogrehan Manoharan, yang mula-mula membangkitkan masalah "tak cukup dos" ketika meneliti rakaman suntikan vaksin Covid-19 pada 19 Mei lalu, berkata telah menerima suntikan semula semalam.
Menurut Anoogrehan, dia diberi suntikan itu setelah BP Healthcare meneliti aduannya.
"Sejak saya melaporkan kecurigaan saya (dan menunjukkan bukti - lihat video di bawah), saya telah menghubungi pihak perundangan BP Healthcare mengenai keadaan saya.
"Mereka sangat baik dalam memaklumkan mengenai apa yang mereka sedang lakukan untuk mengatasi masalah saya dan langkah seterusnya.
"BP Healthcare kemudian meminta saya datang ke World Trade Center Kuala Lumpur (WTCKL) untuk divaksin semula dengan dos yang disyorkan dan saya telah melakukannya (pada 23 Mei)," kata Anoogrehan kepada Malaysiakini hari ini.
Isu tak cukup dos" timbul apabila Anoogrehan meneliti rakaman proses dia divaksin dan mendakwa tidak menerima dos sepenuhnya.
Menurut risalah maklumat produk yang terdapat di laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), satu dos vaksin AstraZeneca ialah 0.5ml.
Anoogrehan, 48 tahun juga mendakwa orang yang menyuntik vaksin itu juga tidak menulis namanya pada borang persetujuannya.
Sedangkan, katanya lagi, dia diberitahu yang ia adalah sebahagian daripada prosedur standard proses vaksinasi.
Anoogrehan menerima dos pertama vaksin AstraZeneca sekitar jam 10 pagi pada 19 Mei di WTCKL.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BP Healthcare dan pasukan mereka atas profesionalisme dalam menangani perkara ini dan kerana sentiasa memberi makluman kepada saya," katanya.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya rakan-rakannya dalam bidang perubatan yang turut meneliti video tersebut dan memberi nasihat mengenai perkara itu, serta Malaysiakini kerana melaporkan kejadian itu.
Danial Abrar Bestari Abrar, yang juga menerima vaksin di hari sama dan mengadu berkenaan kekurangan dos, telah menerima suntikan sekali lagi dua hari lalu.
Tunangnya, Siti Sarah Saiful Anwar kemudian berkata di Twitter, sesiapa yang merasakan tidak menerima dos yang mencukupi boleh menghubungi ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).
ProtectHealth adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia, bawah Kementerian Kesihatan (KKM).
Terdapat tiga cara untuk menghubungi mereka:
Telefon: 03 8687 2525 atau 03 8687 2588.
Email: [email protected].
Saluran media sosial ProtectHealth di Twitter, Facebook dan Instagram.