mk-logo
Berita
Umno enggan dipersalahkan atas 'kegagalan PN'
Diterbitkan:  May 23, 2021 9:37 PM
Dikemaskini: 1:37 PM

Umno sekali lagi menjarakkan dirinya daripada kerajaan ketika sebahagian daripada ahli parlimennya menganggotai kabinet Pakatan Harapan (PN) sekarang.

Menyedari rasa resah orang ramai dengan keadaan semasa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan tidak wajar parti itu dipalitkan dengan "kegagalan PN".

Ia dibuat ketika keadaan politik negara dihangatkan dengan kemunculan pemidang "kerajaan gagal" di beberapa negeri dengan yang terbaru dikesan di Kelantan.

"Saya difahamkan ada usaha untuk memalitkan Umno dengan kegagalan kerajaan PN. Saya fikir perkara ini wajar diperjelaskan sekali lagi supaya semua lebih terang dan faham," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri itu mengakui ada beberapa ahli parlimen Umno menganggotai kerajaan PN namun mendakwa ia tidak bermaksud parti terlibat menentukan dasar-dasar negara.

Katanya Ahmad Zahid segala ketetapan untuk negara - termasuk mengenai dasar berkaitan pengurusan pandemik Covid-19 - dibuat sepenuhnya oleh kerajaan PN.

"Penentuan dasar negara malah menjadi hak mutlak kerajaan PN sejak Ordinan Darurat dilaksanakan," katanya lagi.

Untuk rekod pada asalnya PN berjaya menjadi kerajaan dengan adanya sokongan diberikan Umno selepas Muhyiddin Yassin membawa Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan (PH).

Ia berlaku ketika PH mendapat mandat rakyat untuk menjadi kerajaan pusat dan hampir semua kerajaan negeri pada Mei 2018.

Ada pihak cuba menjebak

Umno - bersama PAS - memberikan sokongan kepada Bersatu selain Gabungan Parti Sarawak untuk menguasai majoriti di parlimen. Bagaimanapun Umno menjarakkan parti itu daripada Bersatu dan PN tidak lama kemudian.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan pernah mengakui antara puncanya ialah kerana kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin kanan parti itu masih diteruskan.

Ahmad dan Ahmad Zahid adalah antara pemimpin kanan Umno yang masih dibicarakan di mahkamah.

Umno sudah memutuskan akan menarik balik sokongan mereka kepada PN namun waktunya masih tidak ditetapkan di sebalik pendirian itu disokongan majoriti perwakilan parti berkenaan.

Ketika ini salah seorang naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, berkhidmat di bawah Muhyiddin sebagai menteri kanan.

Kata Ahmad Zahid tidak adil untuk mengaitkan semua kegagalan PN dengan Umno hanya kerana beberapa ahli parlimennnya menerima tawaran menganggotai kabinet Muhyiddin.

"Justeru tidak patut ada pihak cuba 'menjebak' Umno dengan kegagalan kerajaan PN menangani penularan Covid-19," katanya.

Tambah ahli parlimen Bagan Datuk itu banyak pandangan diberikan Umno kepada PN melalui kaedah luar parlimen namun kebanyakan kurang diberi perhatian.

"Mengapa jadi begitu? Saya fikir semua orang boleh mengandaikan sebabnya," kata Ahmad Zahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS