Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Positif Covid-19 di daerah asing: Bekas wartawan M'sia kongsi pengalaman
Diterbitkan:  May 23, 2021 7:56 PM
Dikemaskini: 11:56 AM

Rahmah Ghazali dan keluarganya tinggal di Sheffield, United Kingdom (UK). Mereka sepatutnya menerima vaksin Covid-19 dua minggu lepas.

Namun, pada minggu sama mereka sepatutnya divaksin, Rahmah, suaminya Hisyam Salleh, dan anak perempuan mereka Sherynn yang berusia sembilan tahun - kesemuanya disahkan positif Covid-19 dalam masa beberapa hari sahaja.

Rahmah merupakan bekas wartawan di Malaysia dan pernah berkhidmat untuk sementara sebagai setiausaha akhbar kepada Lim Guan Eng ketika setiausaha agung DAP itu menjadi menteri kewangan.

Hari ini Rahmah berkongsi pengalaman yang ditempuh mereka sekeluarga pesakit Covid-19 berisiko rendah di UK.

Katanya Hisyam mula berasa tidak sedap badan pada 8 Mei dengan gejala seperti pening, demam, tidak cukup nafas dan cirit-birit. Namun Rahmah sekeluarga tidak terlalu memikirkan situasi itu memandangkan mereka tidak mempunyai kontak luar.

Kali terakhir Hisyam keluar rumah untuk bekerja adalah seminggu sebelum itu.

“Aku ingat dia penat sebab puasa. Aku pulak memang kerja dari rumah dan sekolah Sherynn masih tiada kes Covid-19 yang dilaporkan,” kongsinya di Facebook.

Pada malam tersebut, Rahmah, 37, dan Hisyam, 38, membuat ujian saringan menggunakan kit ujian aliran lateral pantas (rapid lateral flow test kit) yang boleh didapatkan secara percuma di laman web Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) negara itu. Selepas membuat pesanan, NHS akan menghantar kit itu ke rumah.

Kit ujian dapat percuma

“Ada tiga kit di dalam itu. Jadi suami aku buat dulu. Positif. Kami cuak. Dia buat ujian kedua, positif juga.

“Tinggal lagi satu, aku cakap, okey, biar aku buat pula.

"Selepas 10 minit, satu garis. Maknanya aku negatif. Aku lega tapi kami tetap putuskan untuk mengasingkan diri. Hisyam aku tak bagi keluar bilik langsung, cuma boleh ke bilik air saja,” katanya.

Hari berikutnya, suami Rahmah mengisi perincian keputusan ujiannya ke dalam aplikasi Test and Trace (Uji dan Kesan) NHS, dan dia diminta untuk mengasingkan diri selama 10 hari.

Pada masa yang sama Hisyam turut meminta kit ujian RT-PCR daripada laman web milik kerajaan tersebut yang dihantar -secara percuma - sehari selepas tempahan dibuat.

Apabila kit ujian tiba, Rahmah berkata mereka mengikuti arahan yang diberikan dengan menjalankan ujian calit sendiri sebelum menghantar sampel itu kembali kepada NHS.

Pada pagi 12 Mei mereka menerima keputusan ujian mereka melalui e-mel dan SMS. Hasilnya, Rahmah dan Sherynn turut disahkan positif Covid-19.

“Aku menangis teriak semua. Ini satu hari (lagi) nak raya, sedih sebab tak dapat nak sambut, tapi Sherynn kata ‘tak apa mama, let’s get better together’. Lagilah menangis aku,” katanya.

Kata Rahmah, mereka memasukkan perincian masing-masing ke aplikasi NHS dan diminta untuk mengasingkan diri di dalam rumah. Aplikasi itu akan mengesan tempoh kuarantin yang dilakukan.

Bos sangat memahami

Pada petang hari sama, mereka dihubungi seorang pegawai NHS yang menemu bual serta bertanyakan maklumat terperinci tentang lokasi yang pernah mereka kunjungi dalam tempoh seminggu lalu, gejala, dan bentuk sokongan yang mereka perlukan.

Pegawai NHS itu juga kata Rahmah menghubungi mereka beberapa hari sekali melalui panggilan telefon sepanjang tempoh kuarantin.

Selain itu ahli majlis kerajaan tempatan turut menyediakan sokongan buat mereka, seperti memberikan perkhidmatan penghantaran di pintu (drop-off service), atau sokongan berhubung kesihatan mental sepanjang kuarantin.

“Pada 13 Mei, hari raya paling syahdu. Hisyam dah mula hilang deria rasa dan bau. Aku masih lagi tak ada gejala dan makan macam biasa.

"Sherynn champion, langsung tak ada apa-apa gejala, jadi alhamdulillah,” imbaunya.

Tetapi, Rahmah mula mengalami gejala dua hari kemudian apabila dia hilang deria bau dan rasa perlahan-lahan.

Katanya, dia dan Hisyam juga mula bergejala pening kepala, suam badan, dan cepat berasa penat.

“Pada 17 Mei aku cuba kerja macam biasa sebab aku syif pagi, tapi apabila tengok skrin lama-lama aku jadi pening. Bos aku sangat memahami dan dia kata: 'Relaks saja kalau tak larat. Kau tak diminta untuk kerja pun.'

“Aku sedar Covid-19 ini teruk sangat sebab dia memakan/menghakis tenaga kau. Aku aktif, cergas sebelum ini tapi dengan Covid-19 aku terbaring saja. Pernah suatu hari semasa sedang makan, aku kena berhenti separuh jalan sebab tak cukup nafas,” kongsinya.

Sampai sekarang tak ada deria

Sementara itu, cerita Rahmah, Sherynn pula masih tidak menunjukkan gejala dan itu memang cukup menggembirakan.

“Walaupun aku terfikir budak-budak yang aktif walaupun positif ini bahaya sebab kita tak tahu mereka ni sebenarnya pembawa dalam diam (silent carriers),” tambahnya.

Rahmah berkata, deria rasa dan baunya mula kembali pada hari kelapan kuarantin, namun ia tidak lagi seperti dahulu.

“Sekarang deria bau aku ada tapi tak sensitif macam normal. Deria rasa cuma ada bila makanan tu ada rasa yang kuat. Kalau tak, aku rasa kosong.

"Hisyam sampai sekarang tak ada deria. Dia bahkan tak tahu makanan atau minuman itu manis, masin, masam atau pahit,” katanya.

Rahmah sekeluarga menamatkan kuarantin mereka pada tengah malam 21 Mei lalu selepas melengkapkan tempoh 10 hari yang ditetapkan pihak berkuasa UK.

Kata Rahmah, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin hanya selepas 28 hari daripada ujian positif.

Baginya, pengalaman itu benar-benar membuka mata tentang teruknya virus yang membawa Covid-19.

“Tolong, tolong jaga diri, dapatkan vaksin jika giliran anda sudah sampai.

“Vaksin ini mengurangkan gejala Covid-19 kalau kita ada (menghidapnya), dan ia tidaklah 100 peratus menjamin, tetapi apabila kita dah mencapai imuniti kelompok, (kemungkinan) hendak mendapat jangkitan itu kurang.

“Tolong, tolong dapatkan vaksin,” pesannya lagi.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS