Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pharmaniaga tak pernah berhubung dengan individu mahu sumbang vaksin'
Diterbitkan:  May 23, 2021 5:28 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Yong Chee Kong, ahli perniagaan di sebalik dakwaan penipuan membabitkan dua juta dos vaksin Sinovac, tidak pernah menghubungi Pharmaniaga untuk membeli vaksin berkenaan.

Pengarah urusan Pharmaniaga Zulkarnain Md Eusope memaklumkan hal itu hari ini ketika ditanya pemberita sama ada Yong dan syarikat yang didakwa diwakilinya -Xintai Development Enterprise Ltd - ada menghubungi kumpulannya berkenaan untuk pembelian vaksin itu.

“Tentang Encik Yong kami tak pernah berhubung. Mereka tak pernah hubungi kami dan kami juga tidak menghubungi mereka,” kata Zulkarnain kepada pemberita hari ini.

Pharmaniaga adalah syarikat tempatan yang memeterai kerjasama dengan pengeluar vaksin itu di China.

Subsidiari Pharmaniaga iaitu Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS), membekalkan dos vaksin 'siap untuk diisi' (ready-to-fill) yang dibangunkan Sinovac Life Sciences Co Ltd, dan kelak akan menghasilkan vaksin itu secara domestik.

Yong merupakan warga Malaysia yang bekerja untuk Xintai Enterprise Development Ltd - sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong.

Berdasarkan laporan media, dia sebelum ini menawarkan untuk mennyumbangkan vaksin Sinovac kepada kerajaan Sabah, yang menolak tawarannya itu.

Dia mendakwa kerajaan Pulau Pinang kemudiannya menghubunginya untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Perkara itu menjadi pengetahuan umum selepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mendakwa tawaran sumbangan berkenaan ialah satu penipuan.

Terdahulu hari ini, polis Pulau Pinang berkata mereka akan mengambil keterangan beberapa saksi bagi membantu siasatan berhubung tawaran vaksin Sinovac Covid-19 kepada negeri itu, yang didakwa satu penipuan.

Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata pihaknya setakat ini menerima enam laporan polis daripada beberapa individu yang mewakili parti politik, termasuklah daripada pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Pada 19 Mei lepas, PDRM Kontinjen Pulau Pinang telah menerima laporan polis berhubung kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang menyatakan tentang sumbangan vaksin kepada Ketua Menteri Pulau Pinang adalah satu penipuan.

"Ekoran daripada laporan polis tersebut, satu siasatan telah dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang di bawah Seksyen 420 dan 511 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya siasatan masih di peringkat awal dan beberapa tindakan perlu diambil, antaranya mengambil keterangan saksi daripada pihak syarikat berkaitan, pejabat Program Imunisasi Covid- 19 Kebangsaan dan pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Katanya, siasatan awal mendapati penulis surat yang menawarkan dua juta dos vaksin Sinovac hanyalah wakil kepada syarikat Xintai Development Enterprise Ltd yang dilantik secara lisan dan bukannya pengarah urusan syarikat itu sepertimana yang dinyatakan dalam surat berkenaan.

Yong sebelum itu telah disoal siasat polis Sabah berhubung tawaran sumbangan dua juta dos vaksin kepada Pulau Pinang.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali bagaimanapun tidak menyatakan sama ada Yong akan ditahan atau pun sebaliknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS