Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa ia telah mengeluarkan "arahan" kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merampas telefon bimbitnya dalam siasatan terhadap kenyataannya menuntut keadilan isu kematian A Ganapathy.
"SKMM selaku agensi teknikal dalam membantu siasatan pihak PDRM tidak mengeluarkan sebarang arahan untuk merampas bahan bukti yang diperlukan PDRM untuk melengkapkan siasatan mereka.
"Sebaliknya, SKMM akan terus mengemukakan bantuan dan syor teknikal, sesuai dengan keperluan siasatan, secara telus tanpa sebarang agenda terlindung termasuk agenda politik," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Syed Saddiq berkata meskipun dia memberi kerjasama penuh dengan menyerahkan telefon berkenaan, akses kepada akaun media sosial serta kad simnya, dia menyifatkan rampasan itu sebagai tidak perlu.
“Kerana saya sudah dengan rela hati membenarkan mereka mengakses Instagram saya, kerana mereka kata (penyiasatan) hanya ke atas Instagram, tak ada yang lain.
"Soalannya, kenapa hendak ambil keseluruhan telefon kalau siasatan hanya berdasarkan hantaran Instagram?
“Pada masa itu juga saya telah pun membenarkan mereka untuk mengambil data daripada Instagram (saya) pada hantaran tersebut. Jadi soalannya, kenapa hendak ambil keseluruhan telefon?” katanya kepada pemberita di luar balai polis daerah Dang Wangi, semalam.
Meskipun faham bahawa polis hanya menunaikan tanggungjawab untuk menjalankan siasatan, kata Syed Saddiq, dia bimbang apabila dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa arahan rampasan itu datang daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Kami tahu ada segmen khas dalam SKMM yang dikhususkan untuk politik, gangguan politik (political intrusion), kempen sabotaj dan lain-lain - yang ditutup serta-merta oleh PH di bawah menteri Gobind Singh Deo (menteri KKMM pada zaman PH).
“Soalannya, selepas pertukaran kerajaan (kepada PN), adakah mereka mengaktifkan semula unit bermatlamat politik ini? Itu kebimbangan saya.
“Saya percaya kepada Polis Diraja Malaysia dalam hal ini, tapi mereka kata arahan datang daripada SKMM pada saat-saat akhir. Itu benar-benar mewujudkan kesangsian,” katanya lagi.
SKMM hari ini juga menafikan adanya "unit khas" dalam suruhanjaya itu untuk tujuan politik, gangguan politik, kempen sabotaj dan lain-lain.
"SKMM berperanan untuk mengawal selia peraturan industri berdasarkan kuasa yang termaktub di dalam Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (ASKMM) 1998 dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta susunan organisasi SKMM dibentuk dan disusun sesuai dengan peranan kawal selia yang dilaksanakan oleh SKMM.
"Dalam hal ini, pihak SKMM ingin menjemput YB Syed Saddiq untuk hadir ke SKMM yang mana Suruhanjaya bersedia untuk memberikan penerangan penuh mengenai peranan dan carta organisasinya yang juga boleh didapati di laman sesawang rasmi SKMM," katanya.