Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menasihati polis agar menghentikan "gangguan" terhadap Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan sebaliknya memulakan siasatan bebas mengenai kematian dalam tahanan polis Ganapathy dan S Sivabalan.
"Siasatan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq atas kenyataannya berkenaan kematian Ganapathy dalam tahanan polis, dan juga rampasan telefon bimbitnya adalah amat tidak wajar dan merupakan tindakan yang kasar.
"Saya juga terkejut membaca pihak polis dan SKMM ingin masuk dalam akaun Instagram Syed Saddiq demi menyiasat komennya terhadap kematian Ganapathy," kata Kok dalam satu kenyataan.
"Apakah salah kritikan Syed Saddiq terhadap kematian Ganapathy dalam tahanan polis? Syed Saddiq hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dalam hal ini. Polis sepatutnya menjawab komen beliau melalui media rasmi dan bukan menjalankan siasatan terhadap beliau," tambahnya.
Kok juga mendesak Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah menjelaskan sama ada dia memberi arahan kepada SKMM untuk menjalankan siasatan terhadap Syed Saddiq atau tidak.
"Rakyat juga ingin tahu sama ada bekas Menteri Dalam Negeri merangkap Perdana Menteri Muhyiddin masih serius terhadap reformasi dalam pasukan polis dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
"Muhyiddin dan Saifuddin adalah bekas anggota kabinet di dalam kerajaan Pakatan Harapan di mana penubuhan IPCMC adalah salah satu agenda dan dasar kerajaan PH.
"Komen Syed Saddiq adalah sejajar dengan dasar kerajaan PH. Apakah Muhyiddin dan Saifuddin Abdullah telah beralih daripada dasar ini?
"Muhyiddin dan anggota kabinet dan Ahli Parlimen PN tidak patut diam bisu terhadap siri kematian dalam tahanan polis. Mereka haruslah ambil pendirian yang tegas dalam isu ini dan mengarahkan polis untuk menyiasat kematian Ganapathy dan Sivabalan," katanya.
Ganapathy dilaporkan ditangkap pada 24 Februari untuk membantu siasatan yang berkaitan dengan abangnya yang dikehendaki oleh polis. Pada 11 Mac, ibu mendiang, S Thanaletchumy, mendakwa bahawa anaknya dipukul ketika dalam tahanan.
Dakwaan itu dibuat setelah dia dihubungi oleh seorang polis pada 8 Mac, untuk dimaklumkan bahawa anaknya dibebaskan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Selayang.
Ganapathy meninggal dunia di hospital pada 18 April.
Polis juga telah mengambil keterangan dua wartawan Malaysiakini berhubung laporan berita mengenai kes Ganapathy.
Ketua Polis Gombak Arifai Tarawe telah mengancam untuk saman Free Malaysia Today RM10 juta setelah portal berita itu mengaitkan pemindahannya yang akan dilaksanakan dengan kes Ganapathy.
Semalam ahli parlimen Klang Charles Santiago bertemu dengan keluarga Sivabalan yang didakwa meninggal sekitar 70 minit setelah dia ditangkap oleh polis Gombak pada 20 Mei.
Charles mengetengahkan tiga perincian yang menurutnya memerlukan siasatan mengenai kematian penjagaan, walaupun ketua polis Selangor Arjunaidi Mohamed, membantah adanya percanggahan.