Semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama tahun lalu, berlaku banyak kes bunuh diri dan masalah mental kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Bagaimanapun katanya perkara tersebut tidak dihebohkan oleh kerajaan.
Menurut menteri pertahanan itu lagi selain soal kelangsungan ekonomi masyarakat dalam kategori miskin, perkara tersebut turut menjadi pertimbangan kerajaan sebelum memutuskan untuk tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) secara penuh kali ini.
“Saya nak maklumkan, sewaktu PKP1.0 terdapat banyak kes yang melibatkan masalah mental.
“Kes bunuh diri juga banyak berlaku, cuma kita tak hebohkan perkara ini. Jadi inilah yang kita nak jaga. Kita nak jaga rakyat kita supaya jangan terlalu menderita.
"Akhirnya, walaupun kita nak selamatkan nyawa, tetapi, rakyat menderita (kalau PKP penuh dilaksanakan),” katanya dalam sidang media khas bersama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Putrajaya petang tadi.
Ismail Sabri berkata demikian ketika memberikan jawapan tambahan kepada soalan pemberita kepada Noor Hisham berkenaan sebab Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam tidak memutuskan untuk melaksanakan PKP penuh.
Semasa PKP 1.0 dilaksanakan tahun lalu media banyak melaporkan mengenai rintihan rakyat yang kehilangan pendapatan kerana dibuang kerja, selain rintihan peniaga kecil yang tidak dapat mencari rezeki setiap hari sepanjang tempoh tersebut.
Melibatkan masa depan rakyat
Kerajaan juga memaklumkan yang negara menanggung kerugian RM2.4 bilion sehari sepanjang ia berlangsung. Namun, PKP 1.0 dilihat berjaya melandaikan lekuk kes Covid-19 dan menurunkan angka jangkitan di negara ini.
Kali ini, memandangkan angka kes terus mencatatkan peningkatan membimbangkan terutama sejak bulan lalu, kerajaan mengenakan PKP 3.0 di seluruh negara mulai 12 Mei yang dijadualkan berlangsung hingga 7 Jun.
Namun PKP kali ini adalah lebih longgar berbanding PKP pertama ketika semua aktiviti ditangguhkan kecuali untuk perkhidmatan penting.
Ekoran itu, ramai pihak sebelum ini menggesa kerajaan melaksanakan PKP penuh seperti.
Semalam, mesyuarat MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.
Kata Ismail, meskipun kerajaan tidak melaksanakan PKP penuh seperti PKP 1.0 - yang menyaksikan semua sektor ekonomi ditutup kecuali perkhidmatan penting - perintah berkurung penuh (total lokcdown) tetap dilaksanakan secara bersasar di kawasan PKP diperketatkan (PKPD).
Kawasan yang ditentukan berdasarkan lokaliti jangkitan itu, katanya, dikepung dengan kawat duri dan penduduknya pula dilarang daripada keluar rumah. Semua aktiviti perniagaan juga tidak dibenarkan kecuali perniagaan untuk keperluan harian.
“Total lockdown kita lakukan tapi dalam kawasan bersasar (di kawasan PKPD). Setiap hari saya umumkan akan ada PKPD yang dilaksanakan.
"Kita tak lakukan di seluruh negara kerana ia melibatkan masa depan rakyat terutama rakyat yang miskin.
“Jadi sebab itulah, walaupun susah kita nak memberikan pertimbangan seperti ini, kerana yang paling mudah (untuk membendung penularan wabak) adalah melalui total lockdown.
“[...] Tapi kesannya adalah kepada bagaimana rakyat kita - yang miskin terutamanya - nak meneruskan kehidupan mereka,” katanya lagi.