Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP Klang bangkitkan 'percanggahan', polis beri penjelasan

Setelah bertemu dengan ahli keluarga mendiang S Sivabalan, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago membangkitkan tiga percanggahan yang menurutnya memerlukan inkues dilakukan terhadap kematian dalam tahanan berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed, pula menafikan percanggahan yang diperkatakan tersebut.

Sivabalan, seorang pengawal keselamatan berusia 43 tahun, meninggal dunia kira-kira 70 minit selepas dia ditangkap oleh polis Gombak pada 20 Mei lalu.

Berdasarkan sijil kematian yang dilihat Malaysiakini, Sivabalan disahkan meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari disebabkan “acute myocardial infarction” atau serangan jantung.

Hospital Selayang pula dicatatkan sebagai tempat kematiannya.

Ini berbeza dengan kenyataan Arjunaidi yang menyatakan Sivabalan meninggal dunia di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Menurut Charles, polis menghubungi adik perempuan Sivabalan pada 20 Mei untuk memaklumkan lelaki terbabit dimasukkan ke hospital namun apabila dibuat perbandingan didapati ia berlaku selepas waktu pengawal keselamatan terbabit disahkan meninggal dunia.

“Adik perempuan Sivabalan terima panggilan jam 3 petang mengatakan ‘abang awak sangat-sangat sakit, sila pergi ke Hospital Selayang’.

“Apabila mereka pergi ke hospital dan bertanya di kaunter, tak ada pendaftaran di bawah nama lelaki ini (Sivabalan),” katanya ketika dihubungi selepas menziarahi keluarga mendiang pagi tadi.

Maklumkan lebih awal

Percanggahan ketiga, kata Charles, adalah bagaimana polis menangkap Sivabalan kerana satu laporan polis yang dikatakan dibuat lima tahun lalu.

“Kenapa tunggu selama itu untuk lakukan siasatan?” soal wakil rakyat DAP itu.

Ketika dihubungi berkenaan percanggahan yang dibangkitkan Charles, Arjunaidi bertegas bahawa Sivabalan meninggal dunia di IPD Gombak.

“Si mati meninggal dunia di IPD Gombak, bukan di Hospital Selayang. Dia kemudian dibawa ke Hospital Selayang untuk post mortem (bedah siasat),” katanya.

Arjunaidi turut menjelaskan polis menghubungi adik perempuan Sivabalan untuk menyampaikan berita kematian, bukan memaklumkan tentang sakit yang dialaminya.

“Kita tak maklum kata dia tenat di hospital, tetapi maklumkan dia meninggal dan akan dibawa ke hospital. Pemakluman dibuat lebih awal (berbanding dakwaan Charles), kira kira jam antara 1.30 tengah hari ke 2 petang.

Arjunaidi Mohamed

Tambah Arjunaidi, polis mempunyai waran tangkap ke atas mendiang atas kesalahan menakutkan secara jenayah.

“Polis menahan si mati kerana ada waran tangkap. Saya dah jelaskan semalam kita tahan bukan untuk siasatan, tetapi kerana ada waran tangkap.

“Selepas itu kita akan berikan jamin polis untuk dia hadir ke mahkamah,” katanya.

Kematian Sivabalan berlaku selepas isu kematian A Ganapathy hangat diperkatakan. Ganapathy meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital selepas dia ditangkap polis.

Seperti Sivabalan, Ganapathy juga ditahan di IPD Gombak.

Polis Selangor menegaskan hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada tubuh mendiang. 

Kematian itu dikelaskan sebagai mati mengejut dan siasatan mengenainya masih diteruskan. Mereka juga akan mencadangkan satu prosiding inkues dijalankan terhadap kes itu.

Charles menggesa inkues dipercepat bagi memastikan semua bukti dapat terpelihara dalam bentuk asal.

Dia turut mencadangkan prosiding diketuai oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) bagi memastikan pengawasan lebih baik.

“Ketua Polis Negara (Acryl Sani Abdullah Sani) harus membuat lantikan awal-awal supaya (rakaman) CCTV, dokumen, SMS, panggilan telefon dan lain-lain dapat disimpan di tempat berasingan sebelum penyiasatan bermula.

“Ini sangat penting, kerana kalau kita ikut proses biasa, kita tak akan dapat melihat keadilan,” tambahnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS