Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
2,149 kematian, PN tak layak terus berkuasa - Kit Siang
Diterbitkan:  May 22, 2021 11:15 AM
Dikemaskini: 3:17 AM

Rakyat Malaysia tidak pernah menjangkakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan menyebabkan wabak Covid-19 menjadi seteruk sekarang ini dengan kematian melebihi angka 2,100, kata ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Katanya, sebelum tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), tidak ada kematian yang dicatatkan daripada wabak Covid-19.

“Sekiranya persoalan ditanya pada waktu kita mula berhadapan dengan wabak Covid-19 ini 17 bulan yang lepas, apa yang patut dibuat dengan kerajaan yang membiarkan setengah juta rakyat dijangkiti Covid-19 dengan lebih daripada 2,100 mati akibat wabak ini, jawapannya pastilah kerajaan ini tidak layak untuk berkuasa dan mestilah ditukar.

“Hari ini, Malaysia melepasi paras setengah juta kes terkumpul Covid-19 dan negara kita mencatatkan 2,149 korban nyawa akibat wabak ini. 

“Perkara ini menjadi peringatan suram bahawa kita kini sedang berada dalam satu peperangan, walaupun musuh ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, dan kita kini telah kehilangan 2,149 nyawa setakat semalam dan lebih ramai lagi yang akan terkorban sebelum kita berjaya mengawal wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Darurat gagal

Kata Lim lagi, pelaksanaan darurat yang dikatakan untuk mengawal Covid-19 juga terang-terangan gagal.

Darurat diumumkan pada 12 Jan lalu, tetapi berkuat kuasa 11 Jan berdasarkan warta kerajaan.

Lim berkata, sejak pengisytiharan darurat, seramai 1,590 orang terkorban akibat Covid-19.

Angka kematian sebelum itu merekodkan angka 559 dengan kes kumulatif 141,533 kes, ketika darurat diumumkan.

Di tengah keadaan yang semakin meruncing, kata Lim, malang sekali apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) gagal mempertimbangkan pembukaan semula Parlimen yang digantung gara-gara darurat.

Katanya, MKN juga harus menghentikan segala bolak-balik dalam prosedur operasi standard (SOP) dan memberi keutamaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat dalam perang melawan Covid-19. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS