Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kolej pakar bedah perjelas selepas Noor Hisham difitnah terlibat Freemason
Diterbitkan:  May 22, 2021 10:10 AM
Dikemaskini: 2:10 AM

Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd) memberikan penjelasan berhubung anugerah Ijazah fellowship kehormat yang diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada tahun 2018.

Ini selepas gambar majlis penganugerahan Noor Hisham tular di media sosial dan dia dituduh terbabit dalam upacara pergerakan Freemasons.

Noor Hisham bagaimanapun berkongsi penjelasan oleh Ketua Perhubungan Antarabangsa RCSEd, Mariette Naud-Betteridge di media sosial.

“Penyebaran fitnah melalui media sosial dalam kalangan masyarakat masa kini semakin berleluasa dan sukar ditangani.

“Kebanyakan aplikasi media sosial diguna bagi menyebarkan pelbagai berita dan cerita palsu berunsur fitnah.

“Alhamdulilah pihak Royal College of Surgeons Edinburgh telahpun mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Kolej diraja tersebut melalui kenyataan rasmi berkata ia menganugerahkan Fellowship Ad Hominem kepada Noor Hisham yang merupakan salah satu penganugerahan tertinggi oleh kolej tersebut.

Tambahnya, penghargaan itu diberikan kepada bekas pengamal perubatan atau yang sedia ada atau individu yang mempunyai status profesional bertaraf tinggi dan yang dianggap layak mendapat penghormatan.

“Anugerah itu diberikan secara rasmi dalam upacara yang dihadiri oleh anggota kolej.

Menurut kolej tersebut, penerima perlu memakai gaun upacara dari kolej tersebut ketika upacara pemberian anugerah oleh presiden kolej.

"Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Fellowship Ad Hominem oleh Jawatankuasa Anugerah Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh pada 12 Okt 2017.

“Anugerah tersebut kemudian disampaikan oleh Presiden Kolej Mike Lavelle-Jones pada 2 Februari 2018," kata Mariette.

Mariette menambah penghargaan itu bagi mengiktiraf pencapaian Noor Hisham dalam bidang perubatan dan pembedahan serta sokongannya selama bertahun-tahun terhadap kolej itu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS