Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hospital Sungai Buloh perlu satu lagi kontena khas simpan mayat

Hospital Sungai Buloh yang merupakan hospital utama dalam merawat penyakit Covid-19 - menggunakan satu lagi kontena khas untuk menyimpan mayat.

Menurut sumber, usaha juga sedang dilakukan untuk menjadikan Hospital UiTM sebagai hospital bagi merawat pesakit Covid-19.

Langkah ini dilakukan bagi menerima lebih ramai pesakit pada minggu-minggu akan datang.

Satu sumber berkata, Jabatan Forensik hospital Sungai Buloh memerlukan lebih banyak ruang untuk menyimpan mayat kerana jumlah kematian akibat Covid-19 terus meningkat setiap hari.

Awal minggu ini, satu kontena khas telah dipasang di hospital berkenaan yang mempunyai kapasiti maksimum untuk menyimpan 20 mayat.

"Pihak hospital mendapatkan satu lagi kontena khas sebagai persediaan menghadapi lebih banyak kes kematian," kata pegawai itu, yang tidak mahu disebutkan namanya.

Negara ini mulai menyaksikan peningkatan mendadak jumlah kematian akibat wabak itu awal bulan ini, dengan sebilangan besar kes dilaporkan di Selangor.

Dalam tempoh 12 Mei dan 21 Mei, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan sejumlah 427 kematian di seluruh negara, termasuk 144 di Selangor.

Daripada jumlah itu, 49 kematian berlaku di Hospital Sungai Buloh, termasuk pesakit yang meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mereka yang mayatnya dibawa ke hospital tersebut.

Difahamkan, bilik mayat hospital itu mempunyai kapasiti 18 mayat, menjadikan jumlah maksimum yang boleh disimpan dengan kontena khas itu sebanyak 38.

Satu lagi hopital rawat Covid-19

Sementara itu, sumber lain berkata Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan Hospital UiTM sebagai hospital merawat pesakit Covid-19 sepenuhnya.

Hospital UiTM di Sungai Buloh merupakan hospital pengajar universiti yang menempatkan Fakulti Perubatan dan Fakulti Pergigian.

Ia terletak hanya kira-kira 1km dari Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kawalan Kusta Negara.

“Hospital UiTM bukan hospital utama Covid-19, melainkan menjadi kemudahan sokongan untuk meredakan kesesakan di Hospital Sungai Buloh.

"Menurut rancangan, ini akan bermula pada bulan depan," kata sumber di Putrajaya.

Menurut pegawai itu, yang juga tidak mahu disebutkan namanya, kemudahan perubatan UiTM lain yang terletak di Puncak Alam juga akan membantu dengan mengambil semua kes bukan Covid-19 dari Hospital Sungai Buloh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS