Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKP penuh? - Pengumuman SOP lebih ketat esok, kata PMO
Diterbitkan:  May 21, 2021 8:51 PM
Dikemaskini: 1:36 PM

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yakob akan mengumumkan sekatan SOP Covid-19 yang lebih ketat pada sidang akhbar esok, maklum Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Kenyataan PMO selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

"Mengambil kira perbincangan dan penelitian dalam Sidang Khas pada hari ini, mesyuarat sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

"Sidang Khas ini turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan Covid-19.

"Perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan pada 22 Mei 2021," katanya.

PMO berkata mesyuarat MKN hari ini turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk memutuskan rantaian penularan virus ini.

Katanya lagi, SOP PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

"Namun begitu, penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baru yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang," katanya lagi.

Hari ini, ramai yang ternanti-nanti hasil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin petang tadi untuk membincangkan mengenakan PKP penuh untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin marak.

Prospek PKP berskala penuh telah meletakkan penduduk di Lembah Klang dan negeri-negeri lain dalam keadaan berjaga-jaga..

Ini kerana negara terus mencatat kenaikan jumlah kes baru dan kematian Covid-19 mendorong desakan supaya Putrajaya mengenakan PKP penuh serupa dengan yang pernah dikenakan pada awal wabak Covid-19, Mac tahun lalu.

Untuk rekod, kerajaan mengenakan PKP di seluruh negara mulai 12 Mei yang dijadualkan berlangsung hingga 7 Jun.

Pun begitu, perintah - yang dijuluki sebagai "PKP 3.0" - adalah versi SOP yang jauh lebih longgar berbanding PKP pertama tahun lalu ketika semua aktiviti ditangguhkan kecuali untuk perkhidmatan penting.

Ini mendorong gesaan sesetengah pihak, termasuk Kementerian Kesihatan yang mahukan PKP penuh, khususnya di Selangor kerana kes yang tinggi di negeri itu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS