Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang terima amaran keras ROS untuk henti aktiviti, penggunaan logo
Diterbitkan:  May 21, 2021 8:43 PM
Dikemaskini: 12:43 PM

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini memaklumkan mereka telah menerima amaran keras dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menghentikan segala aktiviti keahlian dan penggunaan logo parti.

Setiausaha Agung pro-tem Pejuang, Amiruddin Hamzah berkata, amaran yang terdapat dalam surat bertarikh 10 Mei dikeluarkan walaupun pihak mereka berulang kali berusaha untuk mendapatkan persetujuan untuk status pendaftarannya.

"Memandangkan tiada sebarang jawapan berhubung permohonan untuk mendapatkan kelulusan mahupun justifikasi yang sah melalui lunas undang-undang terhadap rayuan Pejuang, ianya memberikan kesukaran kepada pihak Jawatankuasa Penaja untuk mengawal selia orang-orang awam yang berminat untuk menyertai Pejuang daripada melakukan apa-apa aktiviti termasuk aktiviti kemasyarakatan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Amiruddin juga mempersoalkan motif di sebalik surat itu kerana rayuan Pejuang untuk pendaftaran telah disampaikan kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin, yang bertanggung jawab ke atas ROS, dan tidak mendapat balasan.

"Persoalan lain yang harus dijawab pihak ROS dan Menteri Dalam Negeri adalah apa lagi alasan yang hendak digunakan bagi mengelak daripada meluluskan pendaftaran Pejuang?

"Semua syarat yang telah dimaklumkan kepada Urusetia Pejuang oleh ROS dan Bahagian Dasar, Kementerian Dalam Negeri

(KDN) telah pun dipenuhi oleh Pejuang," tambahnya.

Kata Amiruddin, Pejuang akan menyerahkan isu pendaftarannya untuk diputuskan mahkamah pada 31 Mei.

Pejuang sebelum ini telah mengajukan semakan kehakiman untuk memaksa Hamzah dan ROS membuat keputusan mengenai rayuan pendaftaran parti mereka.

Hamzah dalam afidavit mahkamah menjelaskan alasannya untuk mengambil masa yang lama untuk memutuskan rayuan pendaftaran Pejuang.

Antara lain, Hamzah mengatakan dalam afidavitnya bahawa dia menerima rayuan Pejuang pada 8 Januari 2021 tetapi kemudian dia dimasukkan ke hospital untuk Covid-19 dari 12 hingga 24 Januari 2021, setelah itu dia meneruskan kuarantin rumah hingga 1 Februari.

Pejuang ditubuhkan pada Ogos tahun lalu setelah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya disingkirkan daripada Bersatu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS