Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kamarudin pangku jawatan pengarah JSJK Bukit Aman
Diterbitkan:  May 21, 2021 5:35 PM
Dikemaskini: 9:35 AM

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din akan memangku jawatan Pengarah JSJK berkuat kuasa Isnin ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Mohd Kamarudin memangku jawatan itu berikutan persaraan wajib Datuk Zainuddin Yaacob pada tarikh berkenaan, selepas 34 tahun menabur bakti dalam pasukan PDRM.

Zainuddin, 60, dilantik sebagai Pengarah JSJK Bukit Aman pada 7 Ogos 2020.

Dilahirkan di Kuala Langat, Selangor, Zainuddin yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia menyertai PDRM sebagai Kadet ASP pada 5 April 1987 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, antara jawatan yang pernah disandang beliau adalah Ketua Polis Daerah Machang, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Timbalan Ketua Polis Perak, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur dan Ketua Polis Kedah.

Beliau juga merupakan pencetus kepada penubuhan ‘Commercial Crime Investigation Department’ (CCID) Response Center yang merupakan pusat panggilan bagi membolehkan orang ramai berintekraksi secara langsung dengan pihak JSJK bagi mendapatkan atau menyalur maklumat berkenaan kes jenayah komersial.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS