DAP hari ini berjanji tidak akan menyokong usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sekiranya dia mesyuarat tergempar Parlimen diadakan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mengatakan bahawa 42 ahli Parlimen DAP hanya mahu membincangkan langkah pencegahan Covid-19, program vaksinasi dan perkara-perkara yang berkaitan sahaja.
"PN harus memanggil Parlimen untuk sidang tergempar, sama seperti yang telah dilakukan oleh Johor.
"Bagi meredakan ketakutan politik melampau Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sekiranya Parlimen segera bersidang, DAP memberi jaminan bahawa 42 Ahli Parlimen DAP tidak akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadapnya tetapi hanya akan membincangkan mengenai langkah pencegahan Covid-19, Program Imunisasi Kebangsaan dan perkara yang berkaitan," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Bagan itu, pendekatan keseluruhan kerajaan atau keseluruhan rakyat oleh Sultan Johor lebih baik daripada kegagalan kerajaan PN sekarang yang menurutnya "asyik tersadung daripada dari satu kesilapan dasar dan pusingan-U SOP ke yang berikutnya."
Jelas Lim, keadaan Covid-19 yang mengerikan - di mana Malaysia mempunyai kes Covid-19 per kapita tertinggi di Asean, ditambah dengan program vaksinasi yang perlahan - memerlukan sidang tergempar Parlimen.
"Prestasi yang memalukan ini harus menyedarkan pentadbiran PN yang masih lena bahawa mereka perlu menggunakan bukan hanya pendekatan keseluruhan kerajaan tetapi juga pendekatan keseluruhan rakyat untuk menang dalam pertempuran terdesak melawan Covid-19.
"PN juga perlu memberikan penjelasan penuh mengapa krisis Covid-19 menjadi semakin buruk walaupun terdapat dana langsung RM60 bilion untuk memerangi Covid-19.
"Pada tahun 2020 RM38 bilion diperuntukkan untuk dana Covid-19, RM17 bilion pada tahun 2021 dan RM5 bilion lagi diperuntukkan dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN)," tambah Lim.
Pentadbiran Muhyiddin telah menuntut pengisytiharan darurat pada bulan Januari yang antara lain menggantung Parlimen.
Pada masa sama, sekolah dan kebanyakan perniagaan tetap dibuka.
Namun, selama empat bulan darurat, penularan Covid-19 bertambah buruk, dengan peningkatan mendadak jumlah kematian setiap hari dan pesakit yang memerlukan rawatan rapi.