Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Exco Selangor akui langgar SOP Raya, mohon maaf
Diterbitkan:  May 21, 2021 3:58 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Exco kerajaan negeri Selangor, Borhan Aman Shah hari ini mengesahkan bahawa dirinya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkenaan ziarah Aidilfitri.

Dalam satu hantaran di Facebook, Adun Tanjung Sepat itu berkata, dia akan mengambil sepenuh tanggungjawab berhubung menganjurkan majlis sambutan hari raya baru-baru ini.

“Merujuk kepada tersebarnya gambar saya di media-media sosial bersama tetamu yang singgah berziarah di rumah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, saya pada Khamis, 20 Mei (semalam) telah pun memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.

“Saya dengan ini ingin menyatakan kekesalan yang mendalam atas perkara ini. Saya berjanji bahawa perkara seumpama ini tidak akan berulang.

“Saya ingin memohon ampun dan maaf kepada semua pihak di atas kesalahan ini. Saya mengakui kesilapan dan akan mengambil sepenuh tanggungjawab berhubung perkara ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan gambar berhubung perkara itu tular di media sosial yang memaparkan majlis sambutan yang diadakan di rumah wakil rakyat berkenaan di Kuala Langat.

Turut serta dalam gambar tersebut adalah ayat berbunyi "Satu lagi kes perlanggaran SOP melibatkan kluster kayangan... tarikh dan masa dah terpampang kat gambar-gambar tu... ".

Berikutan itu katanya polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung kes berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS