Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kalau PKP penuh pun, tak ada masalah buka parlimen - Mukhriz

Kalau pun perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasakan dan rakyat diperintahkan berkurung di rumah masing-masing, itu tetap bukan alasan untuk tidak membuka semula sidang Parlimen, kata Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir.

Katanya, Dewan Rakyat mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang jangkitan dalam kalangan ahli parlimen, lebih-lebih lagi ahli parlimen telah pun menerima suntikan vaksin.

"Tak ada apa-apa masalah sekiranya Parlimen terus bersidang (walaupun PKP penuh dikuatkuasakan).

"Sebagaimana yang kita tahu, saya ingat setakat ini, kalau tidak 99 peratus, 100 peratus daripada ahli parlimen sudah pun menerima vaksin.

"Macam-macam SOP ketat dilaksanakan di parlimen.

"Kalau pasar raya boleh dibuka, kenapa tidak Dewan Rakyat yang ketat SOP-nya?" katanya kepada pemberita selepas memberikan keterangan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi tadi.

Dia hadir bersama tujuh yang lain berhubung penyertaan mereka dalam himpunan tunjuk perasaan "Buka Puasa Buka Parlimen" yang diadakan pada 30 April, yang antara lain menuntut pembukaan semula Parlimen.

Mukhriz berkata demikian ketika ditanya apakah pendiriannya berhubung gesaan untuk membuka semula parlimen, sekiranya PKP penuh dilaksanakan kelak.

Kerajaan kembali menguatkuasakan PKP bermula 12 Mei lalu, dengan penguatkuasaan lebih longgar berbanding PKP pertama dahulu, termasuk dari aspek kebenaran operasi kepada semua sektor ekonomi.

Bagaimanapun penularan Covid-19 dilihat kian memburuk sehingga menimbulkan spekulasi kerajaan mungkin melaksanakan PKP lebih ketat selepas ini.

Setelah mencatatkan penurunan dalam bulan Feb dan Mac, kes mula mencatatkan peningkatan sejak April. Terbaru, hari ini (20 Mei), kes harian mencatatkan 6,806 kes baru.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, keputusan sama ada kerajaan persekutuan akan melaksanakan PKP penuh dijangka dibincangkan esok dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) Covid-19 di Putrajaya.

Darurat berkuat kuasa sejak 11 Jan dan dijadualkan tamat 1 Ogos nanti. Pelaksanaan itu dikatakan perlu diambil untuk kerajaan mengekang penularan Covid-19.

Dalam tempoh berkenaan, semua sidang Dewan Rakyat dan DUN digantung.

Bagaimanapun, darurat dikritik banyak pihak termasuk pembangkang dan NGO yang melihatnya bukan langkah wajar dan perlu dalam menagani Covid-19.

Antaranya, Mukhriz sendiri yang menyifatkan kerajaan PN gagal mengekang penularan wabak itu apabila kes jangkitan baru melebihi 6,000 kes kini.

"Saya ingat apa yang dibuat (kerajaan) setakat ini memang alasan semata-mata kerana nak mengekalkan kedudukan kerajaan PN pada ketika ini," katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS