Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Takiyuddin: K'jaan pantau kutipan derma untuk Palestin

Kerajaan sentiasa memantau kegiatan kutipan derma yang dijalankan pelbagai pihak bagi membantu rakyat Palestin, jika ada yang ingin mengambil kesempatan atas perkara itu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Takiyuddin berkata, ini kerana kebanyakan badan yang terlibat ini berdaftar dengan pihak berkuasa.

"Kerajaan akan sentiasa memantau kegiatan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan mengutip sumbangan berkait dengan Palestin.

"Kita akan sentiasa memantau kegiatan-kegiatan seumpama ini dan kita percaya bahawa NGO-NGO ini berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) selain ada juga yang melalui yayasan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri Kelantan yang dipengerusikan Menteri Besar Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darulnaim Kota Bharu, hari ini.

Bagaimanapun Takiyuddin tidak mengulas lanjut berkenaan bagaimana pemantauan tersebut dibuat.

Ketika ditanya apakah ada keperluan agar tabung kutipan derma Palestin untuk diaudit, Takiyuddin berkata ia terserah kepada pihak yang terlibat.

Terdahulu, Anggota Parlimen Kangar Noor Amin Ahmad mencadangkan agar kerajaan menyelaraskan serta mengaudit dana sumbangan #Aid4Palestine yang diusahakan oleh Duta Khas ke Timur Tengah Abdul Hadi Awang, yang juga presiden PAS.

Dia berkata ini kerana timbul isu kutipan yang didakwa tidak sampai kepada pihak sewajarnya di Palestin.

Takiyuddin berkata lagi, kerajaan memahami ada NGO yang cuba membantu Palestin - di tengah-tengah konflik yang kian tegang di sana - termasuk untuk memulihkan bangunan, sekolah dan jalan raya.

Kerajaan sedia menjadi pemudah cara bagi mana-mana badan yang ingin melakukannya, katanya.

"Ia sekaligus melambangkan hati nurani rakyat Malaysia walaupun dalam keadaan kita sekarang ini yang berdepan dengan Covid-19," kata setiausaha agung PAS itu lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS