mk-logo
Berita
Lepas KJ dakwa syarikat tak wujud, KM tuntut penjelasan firma
Diterbitkan:  May 19, 2021 8:02 PM
Dikemaskini: 12:05 PM

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menuntut syarikat swasta yang menjanjikan 2 juta dos vaksin Sinovac Covid-19 ke negeri itu untuk tampil menafikan tuduhan melakukan penipuan.

Ini selepas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Nasional (NIP) Khairy Jamaluddin mendakwa syarikat itu sama sekali tidak wujud.

Pada satu kenyataan hari ini, ketua menteri Pulau Pinang berkata tuduhan itu serius, justeru pengarah dan syarikat terbabit perlu tampil untuk menolak tuduhan tersebut.

"Kerajaan Negeri dengan ini memohon supaya syarikat terbabit untuk memberi penjelasan serta menunjukkan bukti-bukti yang berkaitan demi membersihkan nama serta imej mereka," katanya.

Chow menjelaskan ketika menerima tawaran vaksin melalui surat bertarikh 1 Februari, kerajaan negeri telah meminta pandangan daripada Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

"Pada 12 Mac 2021, Mohd Shafiq Abdullah selaku Ketua Setiausaha KKM telah memberi jawapan kepada Kerajaan Pulau Pinang bahawa adalah tidak perlu menimbangkan sumbangan vaksin tersebut kerana Kerajaan Persekutuan telahpun merangka dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

"Pandangan Ketua Setiausaha KKM, Mohd Shafiq Abdullah langsung tidak menyentuh tentang isu status syarikat tersebut.

"Kerajaan Pulau Pinang dengan ini tidak berupaya menyusuli perkara ini kerana tidak dapat mengemukakan surat perakuan KKM kepada syarikat berkenaan untuk membolehkan mereka meneruskan rundingan dengan pihak pengeluar vaksin," katanya lagi.

Jelas Chow tawaran vaksin ini dibangkitkan semula pada 18 Mei 2021 apabila pihaknya mempersoalkan mengapa KKM tidak dapat memberi perakuan untuk Kerajaan Pulau Pinang sedangkan negeri Sarawak dan Selangor dilaporkan membeli vaksin untuk kegunaan negeri masing-masing.

Terdahulu Khairy berkata tawaran daripada syarikat yang tidak wujud itu tidak sahih.

Menurut menteri itu, pihaknya telah berhubung dengan Sinovac Biotech Ltd di China, yang telah mengesahkan tiada apa-apa bukti dan permohonan diterima oleh wakil syarikat tersebut, berhubung sumbangan yang dimaksudkan.

Katanya, berdasarkan surat yang diterima Ketua Menteri Pulau Pinang bertarikh 1 Feb 2021 yang ditulis oleh Yong Chee Kong dari Kota Kinabalu, sumbangan tersebut adalah dalam bentuk pembayaran kepada pihak Sinovac Biotech untuk kos vaksin sebanyak dua juta dos.

“Penulis surat ini telah memperkenalkan diri sebagai rakyat Malaysia dan merupakan pengarah urusan syarikat Xintai Development Enterprise Ltd, yang berpangkalan di Hong Kong.

“Dalam surat ini disebut bahawa penulis surat itu akan bayar deposit AS$2 juta sekiranya Pulau Pinang setuju dan individu tersebut juga telah berhubung dengan pihak Sinovac Biotech melalui pegawai jualan antarabangsa iaitu Coco Chang,” katanya.

Wanita yang dinamakan sebagai pegawai jualan antarabangsa tersebut, jelas Khairy lagi telah mengesahkan dia tidak menguruskan pasaran Asia dan menafikan dihubungi berkaitan sumbangan yang dimaksudkan.

Khairy juga berkata, pihaknya juga pernah menerima surat dari penulis yang sama pada 9 Feb 2021 atas tujuan sumbangan vaksin sebanyak dua juta dos, kepada Kerajaan Negeri Sabah.

“Apabila kita menerima surat ini, kakitangan saya merujuk kepada pihak Sinovac dan mendapati bahawa tawaran ini tidak betul.

"Ini satu ‘scam’, ini satu penipuan. Jangan politikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan ‘scam’ ini.

“Saya mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menderma vaksin, tapi mesti melalui saluran yang betul. Vaksin adalah barang kawalan dan ia tidak mudah untuk dibeli dan diimport. Ini bukan seperti membeli ‘t-shirt’ di Shopee,” katanya.

Khairy berkata pihaknya akan meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), untuk membuat laporan polis berkenaan individu yang tidak diketahui identiti ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS