Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan jadikan 'lockdown' jalan mudah urus PKP - Dr Dzul

Kerajaan negeri Selangor memohon pusat mempertimbangkan semula  cadangan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat atau 'full lockdown' bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu perlu dipertimbangkan kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi isi rumah, malah akan memberi tekanan kepada banyak pihak.

“Jangan jadikan lockdown itu jalan mudah untuk kita mengurus PKP,” katanya yang turut mengeluh mengenai ketelusan butiran data Covid-19 di negeri itu yang gagal diperolehi daripada kerajaan pusat.

Jelasnya, penekanan harus diberikan kepada rakyat Selangor bagi meningkatkan amalan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama dengan kehadiran varian baru Covid-19.

“Kalau kita nakkan kebebasan kita, maka tambahkan lagi amalan kita dari segi SOP,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata adalah lebih baik sekiranya langkah yang tuntas dan berkesan diambil untuk mengekang penularan Covid-19 berbanding pelaksanaan full lockdown.

Menurut Siti Mariah, pelbagai aspek perlu diambil kira terutamanya ekonomi mereka yang bergantung hidup dengan berniaga atau bekerja sendiri.

“Saya didatangi oleh orang yang kerja sendiri merayu sangat ‘YB janganlah sekali lagi lockdown sebab kami nak makan apa?’

“Kami (kerajaan Selangor) ni setakat di negeri Selango kita boleh beri food pack tapi takkan hari-hari nasi, sardin dan benda-benda macam tu,” katanya dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Jangkitan Covid-19 semakin membimbangkan apabila negara hari ini mencatatkan kes harian tertinggi dengan 6,075 kes baru.

Daripada jumlah itu, Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi dengan 2,251 kes berbanding negeri-negeri lain.

Pada 17 Mei lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berpandangan PKP secara sepenuhnya mungkin perlu dilakukan di Selangor, dengan mengambil kira jumlah kes Covid-19 yang tinggi di negeri itu.

Adham berkata, ada keperluan untuk mencadangkan kawalan pergerakan yang lebih ketat kepada kerajaan memandangkan PKP yang dikuatkuasakan pada masa ini dilihat tidak berupaya mengekang penularan wabak.

'Kita ada masalah polisi'

Siti Mariah berkata kerajaan negeri tidak berniat untuk menuding jari kepada sebelah pihak, namun berpendapat terdapat masalah polisi sehingga berlakunya peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

“Kita ada masalah polisi. Kita ada masalah mengepung kontak-kontak positif ini dan mengesan mereka dan ambil langkah seterusnya supaya mereka tidak bebas dalam masyarakat.

“Mereka pun tak tahu mereka positif. Sebab tu kita adakan saringan setiap DUN. Boleh jaga-jaga dan dikuarantin kalau positif,” jelasnya.

Untuk rekod, kerajaan Selangor pada masa ini menjalankan program saringan komuniti Covid-19 mengikut Dun secara berperingkat bermula 8 Mei hingga 10 Jun 2021.

“Kita nak tanamkan kesedaran bahawa ini tanggungjawab bersama.

“Sebab itu rakyat Selangor bengang bila setiap pengumuman dibuat, Selangor tertinggi (kes positif), seolah-olah beban diletakkan ke atas kerajaan Selangor,” katanya.

Menjawab cakap-cakap orang ramai yang seolah-olah meletakkan kesalahan ke atas kerajaan negeri susulan peningkatan kes, Siti Mariah berkata bidang kuasa kerajaan negeri dalam isu kesihatan hanyalah untuk melengkapi dan bukan menyediakan polisi-polisi kesihatan.

“Kita (kerajaan negeri) tak boleh melangkaui polisi kerajaan walaupun kami kemukakan cadangan-cadangan dan ia tak diterima.

“Jadi bidang kuasa kita adalah untuk menyokong usaha semua agensi, pusat vaksinasi, kita bantu dari segi shortfall.

“Dalam isu pembahagian vaksin orang tanya kenapa Selangor lambat sangat. Kita tak tahu berapa banyak vaksin turun setiap kali (tiba),” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS