Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ribuan tunjuk perasaan di konsulat Israel di AS

GLOBAL | Ribuan orang mengadakan tunjuk perasaan sebagai lambang solidariti dengan Palestin di hadapan kedutaan Israel di seluruh Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Di Washington, DC, ratusan penunjuk perasaan berhimpun di kedutaan, memprotes serangan Israel dan sokongan pentadbiran Joe Biden terhadap Tel Aviv.

Penunjuk perasaan membawa bendera dan sepanduk bertulis: "Bebaskan Palestin" dan "Palestin milik Palestin."

Mereka turut melaungkan "Tiada lagi duit untuk jenayah Israel" sebagai membantah pentadbiran Biden.

Penunjuk perasaan juga melaungkan nama bayi yang terbunuh di Gaza dan menunjukkan keranda yang dibalut dengan bendera Palestin sebagai simbolik membantah kekejaman Israel.

Aktivis Palestin-Amerika Mariam Abou-Ghazala dan penganjur demonstrasi berkata Palestin mahu melihat penunjuk perasaan untuk berani dan lebih lantang.

"Saya sedar, hakikatnya bukan kita yang akan membebaskan Palestin. Tetapi sekurang-sekurangnya suara kami serba sedikit dapat membantu membebaskan penduduk Palestin,” katanya.

Martha Allen menyifatkan sokongan AS terhadap Israel sebagai "memilukan."

"Kami telah memberikan berbilion-bilion dolar tahun demi tahun, dan ini membolehkan penjajahan berlaku dan pengeboman serta pencerobohan rumah dan tanah, dan kami harus melakukan segala yang kami mampu untuk menamatkan penjajahan," katanya.

Tunjuk perasaan yang sama turut diadakan di Houston, Texas, New York City, Los Angeles dan California.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS