Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kluster berkaitan Genting: 'Penularan di Pahang sudah dibendung'

Pengarah Kesihatan Pahang Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, pihak berkuasa tidak dapat mengesahkan dengan tepat sama ada pekerja mahupun pengunjung Genting Highlands merupakan punca kluster Covid-19 yang dikaitkan dengan rombongan ke pusat peranginan itu dari Kedah.

Bagaimanapun, Bahari berkata penularan di Pahang berkaitan pusat peranginan itu telah pun dibendung.

Ia selepas tiga kawasan di Genting Highlands dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pada 10 May lalu. Perintah itu tamat semalam, lima hari lebih awal daripada jadual (23 Mei).

"Selepas kita kesan kes positif di kalangan perniagaan di Genting Highlands, pihak berkuasa buat siasatan dan letakkan kawasan itu di bawah PKPD.

"Semua tindakan termasuk kerja pembersihan telah dibuat. Sekarang kawasan itu sudah 'clear' (untuk dibuka semula)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bahari berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah dimaklumkan berkenaan kes melibatkan pengunjung dari Kedah yang ke Genting Highlands ketika gelembung pelancongan bulan lalu.

Bagaimanpun, punca penularan belum dikenal pasti.

Menurutnya, terdapat beberapa kemungkinan termasuk penularan daripada pelancong sendiri, memandangkan 16 peserta rombongan yang menaiki bas sama telah dijangkiti wabak itu.

Dia juga menegaskan perkara utama adalah pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Ini Covid-19. Isu utamanya pematuhan SOP. Tak payahlan nak kata orang ini salah, orang ini betul.

"Ada kata orang Kedah pergi Genting Highlands kemudian kena (wabak), boleh jadi juga mereka yang sebarkannya di sana.

"Tetapi jika semua orang ikut nasihat 3S dan 3W, wabak tak akan menular. Gelembung pelancongan bukan bermaksud tak perlu patuh SOP," katanya lagi.

Dia merujuk nasihat yang sering disebut Kementerian Kesihatan iaitu amalkan 3W (wash, wear dan warn) dan elakkan 3S (kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat).

Semalam, Exco Kesihatan Kedah Dr Mohd Hayati Othman berkata, 16 kes Covid-19 di negeri itu dikenal pasti melibatkan peserta rombongan pelancongan dari Alor Setar ke Genting Highlands pada pertengahan bulan lalu.

Perjalanan itu dibuat ketika penguatkuasaan gelembung pelancongan oleh kerajaan yang membenarkan perjalanan antara negeri yang dikuatkuasakan PKP pemulihan.

Gelembung pelancongan itu ditamatkan pada 4 Mei lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS