Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rombongan Alor Setar-Genting cetus kluster Covid-19
Diterbitkan:  May 19, 2021 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Rombongan bas dari Alor Setar, Kedah ke pusat peranginan Genting Highlands, Pahang pada pertengahan April lalu mencetuskan kluster Covid-19 selepas terdapat individu yang menaiki bas tersebut didapati positif Covid-19.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Kedah, Mohd Hayati Othman, kumpulan rombongan tersebut melakukan perjalanan sewaktu gelembung pelancongan dan terdapat individu disahkan positif Covid-19 pada 30 April lalu.

"Kluster Dah Lengkuas ini adalah mereka yang melakukan perjalanan di bawah gelembung pelancongan ke Genting Highlands dengan menaiki bas secara beramai-ramai.

"Selepas pulang, ada peserta rombongan yang menjalani ujian saringan Covid-19 dan pada peringkat awal seramai tujuh individu didapati positif menyebabkan usaha mengesan kontak rapat terus dilakukan," katanya lapor Harian Metro.

Difahamkan, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang mengesan kontak rapat rombongan pelancong tersebut.

Mohd Hayati berkata setakat ini, ujian saringan sehingga 7 Mei lalu mendapati 16 individu disahkan positif virus tersebut selepas ujian dilakukan ke atas 28 pelancong rombongan itu.

Tambahnya, kluster tersebut kebanyakan mereka adalah membabitkan penduduk tempatan yang tinggal di Taman Lengkuas, Simpang Empat.

Pada 9 Mac, kerajaan telah mengumumkan bahawa ia akan membenarkan aktiviti pelancongan antara negeri jika kedua-dua negeri berada di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Perjalanan pelancongan tersebut hanya dibenarkan melalui agensi pelancongan yang berdaftar. Ketika aktiviti rombongan itu diadakan, kedua-dua negeri - Kedah dan Pahang sewaktu itu berada di bawah PKPP.

Namun, pada 4 Mei, kerajaan telah menarik semula dasar tersebut. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS