Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan untuk mengurniakan peruntukan bernilai RM300,000 kepada rakyat Palestin sebagai menzahirkan tanda solidariti baginda terhadap rakyat yang sedang berdepan kezaliman Zionis Israel.
Menurut Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob sumbangan Sultan Muhammad V itu disalurkan melalui Tabung Serambi Mekah yang diselia kerajaan negeri.
Mengumumkan keputusan itu menerusi hantaran di Facebook hari ini Ahmad memberitahu penyerahan kurniaan tersebut disampaikan Penglola Istana Diraja Kelantan Tengku Azmi Tengku Jaafar dan disaksikan exco kerajaan megeri Mohd Nassuruddin Daud dan Setiausaha Sulit Kanan Sultan Muhammad V, Nik Shafriman Nik Hassan.
Sementara itu Ahmad berkata, sumbangan tersebut akan disampaikan secara terus kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukan bantuan kewangan pada masa ini.
"Kurniaan tersebut menunjukkan keperihatinan, kebersamaan serta solidariti Tuanku di atas situasi getir bumi al-Aqsa sekarang ini," katanya.
Terdahulu, kerajaan Kelantan mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 oleh barisan wakil rakyat PAS termasuk melalui pemotongan elaun sebagai tanda kebersamaan perjuangan membebaskan bumi Palestin daripada kezaliman Zionis.