Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PNSB pertimbang beri masa Orang Asli kosongkan tanah kampung
Diterbitkan:  May 14, 2021 9:03 PM
Dikemaskini: 1:03 PM

Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) berkata pihaknya terbuka untuk membincangkan permintaan Orang Asli Mah Meri untuk diberikan lebih banyak masa sebelum mereka diusir dari tanah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor itu.

Ini selepas maklum balas terhadap permintaan supaya penduduk mengosongkan tanah Kampung Orang Asli di Bagan Lalang, Sepang bagi memberi laluan projek destinasi pelancongan.

Aktivis Orang Asli Shahar "Shaq" Koyok dan penyanyi popular Yuna antara yang menyertai bantahan suara kritikal netizen di media sosial. 

Petisyen dalam talian untuk membela masyarakat Orang Asli berkenaan telah mengumpulkan lebih 10,000 tandatangan.

Pada satu kenyataan hari ini, PNSB menegaskan langkah pengusiran berkenaan sah di sisi undang-undang.

"PNSB telah mengikuti prosedur dan tatacara urus tadbir yang telah ditetapkan dalam penyediaan notis pengosongan tapak untuk diserahkan kepada pihak-pihak yang terlibat.

"Penyerahan notis berkenaan telah dilaksanakan tanpa sebarang bantahan pada 20 April 2021 dan disertai oleh pihak Pejabat Daerah/ Tanah Sepang (PDT Sepang), Polis Diraja Malaysia dan PNSB.

“Notis pengosongan tapak yang telah dikemukakan pada 20 April adalah lebih kepada pemakluman kepada penghuni yang terlibat berkenaan kedudukan binaan mereka yang telah memasuki tanah milik PNSB,” katanya.

Gambar fail, sambutan Hari Moyang suku Mah Meri.

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor itu juga berkata pihaknya "telus dalam segala urusan."

"Harus difahami bahawa kawasan ini bukanlah penempatan asal suku Mah Meri dan segala keputusan yang akan diambil adalah mengikut prosedur dan lunas undang-undang.

"Segala persetujuan dan penyelesaian yang akan dicapai kelak akan berlandaskan kepada konsep ketelusan, integriti dan kemanusiaan," kata firma itu.

PNSB juga mengesahkan menerima surat rayuan daripada Tok Batin Taha Akhir yang meminta lanjutan masa pengosongan tapak kampung berkenaan.

"PNSB terbuka dengan fasa perundingan yang terus berjalan dan bersedia mempertimbangkan rayuan pelanjutan masa pihak penduduk tersebut dengan mengambil kira pelbagai aspek semasa," katanya lagi.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan 20 keluarga suku Mah Meri di situ mempunyai masa sehingga 20 Mei untuk meninggalkan kediaman mereka.

Mereka telah menetap di sana selama 20 tahun yang lalu.

PNSB dilaporkan memiliki 67.8 hektar manakala majlis tempatan pula memiliki satu hektar tanah di daerah itu, termasuk penempatan kampung itu.

Menurut laman web Sepang GoldCoast, terdapat tiga fasa bagi projek ini.

Selain daripada resort, fasa kedua "D'Festival" pula dirancang menjadi pembangunan komersial campuran untuk "tempat tinggal resort, perniagaan dan hiburan.

Fasa ketiga "Laguna Villa" pula akan membangunkan resort lain yang dikatakan akan menggunakan teknologi lestari.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS