mk-logo
Berita
Ingkar SOP Aidilfitri: Exco T'ganu, tamu didenda RM2,000
Diterbitkan:  May 14, 2021 3:46 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Exco Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim tampil ke balai polis setelah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Hari Raya Aidilfitri dengan menerima tetamu di rumah.

Pada hantaran di Facebook hari ini, dia berkata telah memberikan kenyataannya di balai polis daerah Besut.

Ingkar SOP terima tamu: Exco T'ganu didenda RM2,000

Azman berkata dia juga menerima surat tawaran untuk mengkompaun kesalahan tersebut.

"YB (wakil rakyat) juga dihukum sebagaimana rakyat biasa dengan kadar tawaran kompaun yang sama.

"InsyaAllah akan dijelaskan seberapa segera. Tiada siapa yang berada di atas dari undang-undang," catatnya.

Smentara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad dipetik Utusan Online berkata Azman dan tetamu yang juga jirannya, Zakaria Mahmud dikenakan kompaun RM2,000.

“Kedua-dua mereka menerima kompaun berkenaan selepas hadir memberikan keterangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Besut kira-kira pukul 12 tengah hari ini,” katanya.

Pada satu hantaran Facebook berasingan, Azman mengaku menerima kunjungan jiran ke rumahnya pada 1 Syawal semalam.

Kunjungan Hari Raya Aidilfitri tidak dibenarkan bawah SOP PKP.

"Mohon maaf kepada semua pihak yang terpalit kerana isu ini. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua," katanya.

Semalam, Adun PAS dari Jabi itu menafikan mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya, yang juga dilarang di bawah SOP.

Azman berkata tidak munasabah untuk menolak tetamu ke rumah semasa musim perayaan.

"Tak ada buat rumah terbuka pun. Adalah sorang dua rakyat yang mari rumah sebagaimana hari-hari biasa rakyat mari rumah kerana pelbagai urusan.

"Di sinilah dilema seorang kuli rakyat macam ambe (saya). Tak munasabah kita nak tutup pintu dan kunci kemas kemudian suruh rakyat balik kerana ziarah raya tak dibenarkan sedangkan hari-hari lain dalam tempoh PKP selalu saja rakyat mari rumah.

"Juga tak munasabah rakyat berdekatan mari ke rumah kita tak angkat walaupun segelas air. Musim raya ini adalah juga ketupat sebiji dua walau bukan juadah penuh meja," katanya.

Azman dikritik selepas seorang tetamu ke rumahnya membuat hantaran gambarnya bersama exco itu di media sosial.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS