Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JLM perjelas kekeliruan SOP sektor perkapalan
Diterbitkan:  May 14, 2021 2:43 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Jabatan Laut Malaysia (JLM) tampil memberi penjelasan susulan kekeliruan berhubung prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor perkapalan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).

"Sehubungan itu, segala tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dikemaskini bagi memastikan operasi dan perjalanan sistem pengangkutan maritim berkaitan para pelaut mahupun industri perkapalan adalah jelas," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Agensi itu merujuk laporan Malaysiakini sebelum ini yang memetik pemain industri perkapalan berkata tiada SOP tetap sejak PKP dikuatkuasakan pada Mac tahun lepas lagi.

Susulan itu, jabatan laut berkata pihaknya telah menyelaras keseragaman SOP menjurus kepada aktiviti operasi perkapalan di kawasan pelabuhan.

"JLM dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan dan agensi kerajaan lain sentiasa menyokong usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam membendung penularan pandemik di Malaysia," katanya.

Menurut JLM semua kapal yang tiba atau masuk ke kawasan pelabuhan dari India tidak diwajibkan menjalani proses kuarantin 14 hari di laut.

"Deklarasi Kesihatan Maritim kapal-kapal tersebut akan diperiksa oleh pihak KKM dan diberikan free-pratique sebelum dibenarkan masuk lalu merapat ke dermaga bagi menjalankan operasi.

"Hanya sekiranya kapal disyaki amat berisiko membawa gejala Covid-19, maka kapal akan diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di laut.

"Pekerja pelabuhan dan individu darat dibenarkan menaiki kapal tersebut bagi aktiviti kargo, serta diwajibkan memakai pelitup muka dan sarung tangan," kata kenyataan itu lagi.

Jelas JLM, sekiranya mereka memerlukan interaksi dengan mana-mana anak kapal di atas kapal atau memasuki manamana ruangan kabin, kesemua individu tersebut perlu penambahan pemakaian pelindung muka (face shield) dan apron PPE.

"Bagaimanapun, pemakaian PPE penuh oleh kedua-dua pihak adalah berdasarkan penilaian risiko yang akan ditentukan oleh Lembaga Pelabuhan dengan mengambil kira nasihat JLM dan KKM," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan pegawai KKM di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor Bahru tidak membenarkan inspektor kargo dan ejen naik memeriksa kapal dari India.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS