Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP kemukakan dalil mengapa PKP 3.0 adalah PKP olok-olok
Diterbitkan:  May 14, 2021 11:47 AM
Dikemaskini: 4:53 AM

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hari ini mengemukakan tiga dalil bagi membuktikan dakwaannya bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah “PKP olok-olok”.

“Sebab pertama, tidak dikenakan secara setara ke atas semua berdasarkan fakta dan data, terutama sektor yang mewujudkan banyak kluster," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa pusat-pusat membeli-belah merungut kerana di sebalik hanya menyumbang kurang dari lima peratus kluster Covid-19 berbanding kilang-kilang yang membentuk 48 peratus kluster mereka diarahkan tutup.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga Mei lalu, kerajaan sudah menutup sehingga 70 kilang.

“Kedua, SOP (prosedur operasi standard) tidak dikenakan secara adil dengan sesetengah VIP seperti menteri, timbalan menteri dan orang kenamaan diberi kelonggaran ataupun tidak dihukum setimpal rakyat biasa bila berlaku pelanggaran SOP.

“PKP dilaksanakan tanpa memperkasakan 3T (testing, tracing, treatment). Contohnya, negeri seperti Perlis yang tidak mencatatkan sebarang kes baharu jangkitan juga dikenakan PKP, ” kata Sim. 

Ismail Sabri pada sidang akbarnya pada 11 Mei, juga memaklumkan bahawa polis perlu mengeluarkan kompaun serta-merta terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan seperti selebriti dan ahli politik yang didapati melanggar SOP perintah kawalan pergerakan.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat yang kerajaan seolah-olah memberi layanan istimewa kepada golongan berkenaan.

Muhyiddin pada Isnin, 10 Mei lalu mengumumkan PKP kini diperluas ke seluruh negara dan berkuatkuasa 12 Mei hingga hingga 7 Jun 2021. Namun, semua sektor ekonomi masih dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Antara, syarat PKP 3.0 itu adalah penjualan makanan hanya dibenarkan secara pandu lalu dan bungkus sahaja, manakala makan di restoran adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Hanya tiga individu dibenarkan berada dalam satu kenderaan termasuk pemandu bagi kenderaan persendirian, teksi dan e-hailing.

Majikan juga diwajibkan melaksanakan dasar bekerja dari rumah dengan kehadiran tidak lebih 30 peratus kakitangan pengurusan pada setiap masa.

Semasa sambutan Aidilfitri, ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur adalah tidak dibenarkan.

Solat sunat Aidilfitri pula tertakluk pada kapasiti masjid dan surau - tidak melebihi 50 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah dan 20 orang bagi masjid dan surau yang boleh memuatkan kurang daripada 1,000 jemaah.

Had bilangan jemaah yang sama terpakai bagi solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.

Selain itu, operasi rumah ibadah bukan Islam juga akan diperketatkan.

Mengulas lanjut, Sim berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga perlu berhenti bermain dengan kehidupan rakyat setelah terbukti mereka gagal membendung pandemik Covid-19. 

Ini dapat disaksikan dengan jumlah kes positif harian, semakin meningkat dan mencecah 4,855 orang semalam manakala jumlah kematian mencatat angka harian tertinggi pada 12 Mei lalu dengan 39 kematian.

Katanya, walaupun rakyat bersedia untuk berkorban demi meratakan lengkuk jangkitan seperti semasa PKP 1.0, namun PKP olok-olok selepas itu dilihat sebagai menyukarkan kehidupan rakyat terbanyak dari aspek sosial, ekonomi dan kesihatan mental.

“Asyik-asyik rakyat terbanyak disaran berkorban, sedangkan strategi PKP kerajaan tidak membuahkan hasil yang dikehendaki,” katanya sambil menambah kerajaan sepatutnya menggandakan usaha untuk mempercepatkan proses vaksinisasi.

“PKP olok-olok sudah gagal, jangan gagalkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) pula.

“Pada peringkat ini, kerajaan harus menggandakan usaha bagi mempercepatkan Pick untuk mencapai matlamat vaksinisasi sehingga 80 peratus penduduk Malaysia menjelang hujung tahun ini,” katanya sambil mempersoalkan sasaran yang ditetapkan mampu dicapai.

Ini susulan, katanya, kerajaan sendiri mengakui bahawa antara faktor kadar vaksinisasi yang perlahan ialah kekurangan bekalan vaksin yang akan hanya bertambah pada bulan Jun nanti.

“Apakah jaminan bekalan vaksin akan diterima pada bulan Jun dan jika kita berjaya menerima bekalan tersebut, adakah proses sedia ada mampu meningkatkan kadar vaksinisasi harian untuk mencapai 9.4 juta penduduk menjelang Ogos nanti?” soalnya.

Justeru, dia berkata, kerajaan perlu melakukan apa sahaja, termasuk membelanjakan wang, untuk meningkatkan bekalan vaksin secepat mungkin dan meningkatkan kadar vaksinisasi harian bagi mencapai 80 peratus penduduk negara ini pada hujung tahun seperti yang disasarkan.

“Kita tidak punya pilihan lain. Kerajaan patut berhenti bermain dengan kehidupan rakyat dengan strategi PKP olok-olok.

“Lebih baik kita menaruh segala usaha untuk mempercepatkan proses vaksinisasi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS