mk-logo
Berita
Gelar Hamas 'radikal': Editor berita Mandarin RTM terima surat tunjuk sebab
Diterbitkan:  May 13, 2021 2:20 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Ketua Editor Berita Mandarin dan Editor Meja Mandarin RTM telah diberikan surat tunjuk sebab selepas satu laporan berita merujuk kumpulan pro-Palestin, Hamas sebagai 'radikal'.

Hal ini dimaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah pada satu kenyataan hari ini.

"Susulan penularan perkongsian di laman sosial tentang penggunaan istilah merujuk kepada Hamas dalam pelaporan berita berbahasa Mandarin oleh TV2, RTM berkaitan serangan udara Israel terhadap Palestin pada 12 Mei 2021, saya telah segera mengarahkan siasatan dan tindakan lanjut telah diambil oleh pihak pengurusan Jabatan Penyiaran Malaysia," katanya.

"Permohonan maaaf secara terbuka dalam siaran berita untuk pembetulan telah disiarkan dalam Berita Tengah Hari pada pukul 1.00 tengah hari dan Berita Mandarin pada pukul 7 malam, hari yang sama, 12 Mei 2021," jelasnya.

Saifuddin berkata Seksyen Berita dan Hal Ehwal Semasa telah diminta mengkaji prosedur operasi standard (SOP) tugasan bilik berita.

Ini, jelasnya khusus dalam penyuntingan dan penerbitan berita televisyen untuk memastikan kesilapan serupa tidak berulang pada masa hadapan.

"RTM peka tentang situasi yang berlaku dan sentiasa teguh menyokong pendirian Malaysia dan aspirasi rakyat berhubung konflik yang melanda dan mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin.

"RTM akan terus berusaha dalam menambahbaik kualiti penyampaian berita dari semasa ke semasa," kata lagi. 

Untuk rekod penyiar berita itu menggunakan perkataan mandarin yang berbunyi Jījìn zǔzhī (激进组织), bermaksud pertubuhan radikal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS