Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SSR gesa rakyat ‘protes' PN di media sosial Khamis ini
Diterbitkan:  May 11, 2021 6:58 PM
Dikemaskini: 11:06 AM

Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) menggesa orang ramai supaya melakukan ‘protes’ di media sosial pada Khamis ini susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang disifatkan menyusahkan rakyat.

SSR yang merupakan penganjur perhimpunan Undi18 dan “Buka Puasa Buka Parlimen” berkata, mereka menganjurkan protes itu bagi menyatakan kegagalan kerajaan PN mengawal wabak Covid-19.

“SSR ingin mengajak rakyat Malaysia untuk tulis #BerayaDiJalanRaya atau satu daripada #EnamTuntutan kami pada sehelai kertas atau plakad dan ajak ahli keluarga atau rakan-rakan yang berdekatan untuk sesi bergambar di luar rumah anda dan pastikan anda mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta amalkan penjarakan sosial 1 meter.

“Muatnaik gambar tersebut di media sosial anda menggunakan tanda pagar #BerayaDiJalanraya dan #EnamTuntutan. 

"Kongsikan gambar anda bersama kawan-kawan serta ahli keluarga yang lain,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Gabungan itu, berkata, pelaksanaan PKP 3.0 antara bukti kerajaan PN gagal untuk mengawal Covid-19 meskipun telah mengambil langkah untuk mengisytiharkan darurat.

“Keputusan yang diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini agak aneh kerana Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri telah memaklumkan pada 8 Mei 2021 bahawa kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan PKP seluruh negara.

“Kami ingin menegaskan bahawa darurat yang selama ini diuar-uarkan bagi mengawal situasi Covid-19 gagal membuahkan sebarang hasil kerana jumlah kes jangkitan Covid- 19 tidak menurun sejak Januari 2021 lalu bahkan angkanya semakin meruncing dan meningkat," jelas SSR.

Kata mereka, kerajaan juga membuat pengumuman tanpa berpandukan sains dan data yang mengakibatan kekeliruan berterusan kepada rakyat Malaysia.

“Golongan yang paling terkesan akibat daripada kecuaian dan kelalaian ini adalah rakyat biasa.

“Arahan dan prosedur yang tidak jelas akan pembukaan dan pengoperasian perniaga kecil telah menyebabkan kerugian yang berterusan yang terpaksa dihadapi oleh peniaga.

"Malah, ramai juga yang telah gulung tikar kerana tidak mendapat bantuan yang sewajarnya oleh kerajaan,” kata mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS